Nissan telah melancarkan Nissan Versa 2026 di Mexico, iaitu model yang dikenali sebagai Nissan Almera di pasaran negara kita. Walaupun Nissan menyatakan bahawa ini adalah model generasi baharu, kita boleh lihat dengan jelas ia masih menggunakan kerangka badan dan juga rekaan pintu yang masih sama dengan model generasi sebelumnya, menandakan ia masih diasaskan dari platform terdahulu.
Apa yang dibuat pada Versa ini sebenarnya sama seperti Nissan Sentra generasi baharu yang didedahkan di Amerika Syarikat tahun lalu, di mana ia memang diasaskan dari platform lama tetapi diberikan pengayaan luaran dan dalaman baharu sepenuhnya.
Model generasi baharu ini menampilkan muka signatur baharu Nissan dengan lampu nyalaan siang nipis dihubungkan kepada bar hitam merentangi sepenuhnya bahagian muncung, bersama logo Nissan di tengah, sementara lampu hadapan utama dan gril diletakkan pada bampar hadapan.
Rekaan lampu belakang pada badan yang masih diberikan rekaan boomerang. Namun model generasi baharu ini menampilkan bar hitam merentangi sepenuhnya penutup but bagi menghubungkan kedua-dua belah lampu belakang, manakala perumah nombor pendaftaran dialih ke bampar.
Antara perincian yang diberikan bagi model pasaran Mexico ini termasuk lampu hadapan dan belakang LED dengan fungsi Follow Me Home dan juga rim aloi 17-inci rekaan baharu.
Malah Versa 2026 ini juga masih mengekalkan unit rangkaian kuasa yang sama – bagi pasaran Amerika Latin, Versa digerakkan oleh enjin HR16DE 1.6 liter empat-silinder NA berkuasa 118 hp dan tork maksima 154 Nm, berbeza dengan Almera di sini yang menerima enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 100 PS/152 Nm. Enjin berkenaan digandingkan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau dengan transmisi CVT Xtronic.
Pada bahagian dalaman, terdapat sedikit rombakan rekaan dibuat pada papan pemuka di mana liang penghembus udara pendingin hawa pada bahagian tengah kini bercantum dengan perumah paparan instrumen, kedua-dua liang sisi yang sebelum ini berbentuk bulat diubah kepada bentuk bersegi, manakala skrin infotainmen di tengah kini pada kedudukan ‘terapung’.
Manakala lain-lain perincian seperti suis-suis kawalan pada papan pemuka, konsol tengah dan roda stereng nampak masih sama seperti versi sebelum ini.
Bergantung pada varian, Versa 2026 ini diberikan skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan instrumen digital dengan skrin TFT tujuh-inci, pad pengecas telefon tanpa wayar serta sistem audio premium Bose dengan lapan pembesar suara.
Untuk keselamatan pula semua varian Versa pasaran Mexico ini menerima enam-beg udara, sistem pemantau tekanan angin tayar, penderia parkir belakang dan bantuan mula mendaki. Manakala varian lebih tinggi diberikan fungsi bantuan pemanduan seperti lampu bantuan lampu tinggi, amaran keluar lorong, cruise control adaptif, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan lain-lain.
Nissan Versa 2026 ini diproduksi di Mexico dan bakal dieksport ke pasaran Amerika Latin yang lain. Ia ditawarkan dalam tiga varian di negara tersebut iaitu Sense, Advance dan Exclusive, di mana untuk Sense dan Advance ia tersedia dalam versi manual lima-kelajuan dan CVT, manakala varian tertinggi Exclusive hanya ditawarkan dalam versi CVT. Ia dijual pada harga bermula 382,900 peso (sekitar RM85k) sehingga 470,900 peso (RM105k).
Untuk pasaran Asia Tenggara, negara seperti Thailand sudahpun menerima Almera facelift pada 2023. Namun kita di Malaysia masih lagi ditawarkan Almera N18 dengan rupa yang sama sejak ia membuat kemunculan global sulung pada 2019. Mungkin apabila model generasi baharu ini ditawarkan, kita di Malaysia akan terus menerima versi terbaharu ini?
The post Nissan Versa 2026 dilancarkan di Mexico – Almera generasi baharu, akan dibawa juga ke ASEAN? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






























































