Kalau ikut khabar angin yang bertiup pada 2023, tahun ini sepatutnya Nissan sudahpun mendedahkan model generasi baharu untuk Skyline, dan ia bukan lagi sebuah sedan, sebaliknya ‘disumpah’ menjadi sebuah SUV yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya (EV).

Mujurlah ia hanya khabar angin, dan ketika berlangsungnya Japan Mobility Show 2025 yang bermula minggu lalu, reruai Nissan masih mempamerkan Skyline generasi sedia ada, iaitu model generasi ke-13 (V37) yang sudah berada selama 11-tahun dalam pasaran, kali ini muncul dalam versi edisi terhad hanya 400 unit yang dibina berasaskan varian paling tinggi Skyline 400R yang dikenali sebagai Nissan Skyline 400R Limited.

Jadi bila sebenarnya Skyline generasi baharu ini akan muncul? Laporan Auto Express menyatakan bahawa sedan tersebut bakal muncul pada 2027 – ini bukan khabar angin kerana ia diberitahu sendiri oleh pengarah rekaan global Nissan iaitu Alfonso Albaisa.

Tiada sebarang hal berkaitan bahawa Skyline akan muncul sebagai SUV EV dinyatakan, sebaliknya Albaisa menyebut Skyline akan menjadi model sedan berorientasikan prestasi, di mana ia masih akan digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman, pacuan roda belakang dan Nissan turut akan menawarkan kotak gear manual sebagai pilihan!

Nissan Skyline generasi baru akan muncul pada 2027 – inspirasi Skyline ‘Kenmeri’, pacuan belakang, manual!

Nissan Skyline C110 sedan

Beliau turut menjelaskan bahawa posisi Skyline akan diletakkan antara dua kereta sport iaitu Nissan Z dan juga GT-R bagi membayangkan prestasinya. “Nissan Z pada satu bahagian, GT-R pada sebelah satu lagi – Skyline akan duduk di tengah-tengah,” kata Albaisa.

Untuk rekaan pula, Albaisa menjelaskan bahawa ia akan mengambil inspirasi dari Skyline generasi terdahulu, tetapi ia tidak akan tampil sebagai sebuah sedan dengan rupa yang retro.

“Tengok semula kereta dari 1968 atau 1970. Bentuk ekspresif seperti itu. Ikonik,” kata Albaisa. Apa yang dikatakan oleh Albaisa mungkin mahu menunjukkan era peralihan bentuk Skyline dari generasi C10 pada tahun 1968 yang berkotak serta dikenali dengan gelaran Hakosuka (Skyline berkotak) kepada bentuk fastback pada generasi C110 1970 yang juga popular dengan gelaran ‘Kenmeri Skyline’.

Dan perlu diingat, Albaisa bercakap tentang sedan Skyline, bukan GT-R, jadi apa yang dimaksudkan adalah versi sedan empat pintu C110, bukan GT-R KPGC100 dengan badan coupe. “Fikirkan besar, lebar dan gempal. Agresif dan tidak retro,” tambah Albaisa lagi.

Seperti generasi sedia ada, dijangkakan nama Nissan Skyline hanya akan digunakan pada model pasaran domestik Jepun (JDM). Untuk pasaran luar, sedan ini akan terus dijual dengan jenama mewah Nissan iaitu Infiniti dan akan terus dikenali sebagai Infiniti Q50.

The post Nissan Skyline generasi baru akan muncul pada 2027 – inspirasi Skyline ‘Kenmeri’, pacuan belakang, manual! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts