Seorang pengguna Facebook telah berkongsi imej di paultan.org Automotive/Car Discussion Group yang memaparkan model generasi terkini MPV Nissan Serena iaitu Serena C28 dengan unit rangkaian kuasa e-Power yang berada di Malaysia. Ia kelihatan seperti unit ujian kerana sebahagian perinciannya telah dilindungi pelekat serta hanya menggunakan trade plate untuk bergerak di atas jalan raya awam.

Model ini telah pun diperkenalkan di Jepun pada 2022, dan sekarang mungkin masa yang sesuai untuk Edaran Tan Chong Motor (ETCM) melancarkannya di sini. Ini bukan pertama kali Serena C28 ini dilihat di Malaysia kerana pada 2023 ia sudah pun kelihatan sedang diuji di Genting Highland – namun tiada sebarang khabar berkenaan pelancaran model generasi ke-enam ini selepas itu.

Sebaliknya ETCM terus menawarkan Serena C27 sehingga kini selepas ia dilancarkan pada 2018, dan telah menerima versi facelift pada 2022.

Nissan Serena C28 e-Power dijumpai di Malaysia – MPV dengan enjin 1.4L 3-silinder akan dilancarkan?

Kami difahamkan ETCM akan membuat pertukaran barter dengan Nissan Thailand sekiranya Serena C28 ini dilancarkan ke pasaran tempatan, di mana kilang di sana akan membekalkan model generasi baharu ini untuk di bawa ke Malaysia, sementara ETCM akan mengeksport Serena C27 yang dihasilkan di sini ke Thailand.

Thailand sebenarnya telahpun menerima Serena C27 yang diimport dari Malaysia berkenaan, dilancarkan pada pasaran itu pada akhir 2024 dan dijual pada harga 1,469,000 baht (RM189k). Ia dijual serentak dengan Serena C28 di sana yang ditawarkan pada harga 1,690,000 baht (RM218k).

Sama ada ETCM akan mengikut strategi jualan seperti di Thailand iaitu untuk menawarkan dua generasi serentak dalam bilik pameran masih tidak diketahui. Namun ia dilihat agak logik untuk dilakukan bagi memberikan lebih banyak pilihan bagi pengguna di Malaysia, khususnya berkaitan dengan harga.

Nissan Serena C28 e-Power dijumpai di Malaysia – MPV dengan enjin 1.4L 3-silinder akan dilancarkan?

Buat masa sekaran Serena C27 dijual di Malaysia pada harga antara RM148,888 dan RM163,888. Manakala bagi C28, ia dijangka akan dijual pada harga sekitar 15% atau 20% lebih tinggi (mungkin lebih tinggi memandangkan ia adalah model CBU yang menerima cukai lebih tinggi), iaitu sekitar RM200,000. Jadi untuk pembeli yang tidak mempunyai bajet besar sehingga RM200, sekurang-kurangnya mereka masih boleh membeli Serena C27 yang turut dijual baru.

Nissan Serena C28 menerima versi terkini unit rangkaian kuasa hibrid Nissan e-Power. Ia menggandingkan enjin HR14DDe 1.4 liter tiga-silinder NA berkuasa 98 PS/123 Nm yang hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri berkapasiti 1.77 kWj, manakala tayar hadapan dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik berkuasa 163 PS dan tork maksima 315 Nm seperti sebuah EV sebenar.

Serena boleh dikatakan tiada saingan terus di Malaysia kerana Honda tidak membawa StepWGN dan Toyota tidak membawa kembar Voxy dan Noah secara rasmi ke pasaran tempatan. Namun dari segi julat harga, ia mungkin boleh dibandingkan dengan BYD M6, tetapi bukan semua orang melihat EV sebagai mobiliti keluarga, lagi-lagi untuk perjalanan jauh bukan?

The post Nissan Serena C28 e-Power dijumpai di Malaysia – MPV dengan enjin 1.4L 3-silinder akan dilancarkan? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts