Nissan Rouge Plug-in Hybrid 2026 telahpun didedahkan di Amerika Syarikat, di mana ia bakal membuat kemunculan sulungnya di Los Angeles Auto Show 2025 yang akan bermula 21 November ini. Macam pernah nampak SUV ni kan? Ya, Rouge PHEV 2026 ini adalah model yang di’rebadge’ dari Mitsubishi Outlander PHEV!
Tidak seperti Rouge biasa yang lazimnya dikenali sebagai X-Trail di pasaran lain termasuk Malaysia, Rouge PHEV ini mungkin hanya dijual pada pasaran Amerika Syarikat. Ini kerana Nissan sebelum ini sudahpun mengesahkan bahawa Rouge/X-Trail generasi kelima bakal diperkenalkan tahun hadapan, digerakkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid e-Power baharu.
Berbalik kepada Rouge PHEV ini, ia bakal dijual dalam dua varian di Amerika Syarikat iaitu SL dan Platinum. Ia menerima rupa yang sama dengan Outlander pada bahagian bampar dan lampu nyalaan siang hadapan, bahagian sisi, serta pada bahagian belakang. Apa yang berbeza, ia diberikan gril hadapan lebih tersendiri, lampu hadapan dan lampu kabus dengan grafik dalam berlainan, set rim aloi dengan rekaan berlainan, dan tambahan bar hitam merentangi pintu tailgate belakang serta kemasan skid plate bawah bampar belakang juga berbeza dari Outlander.
Rouge PHEV ini dibekalkan dengan enjin petrol 2.4 liter yang berfungsi dalam kebanyakkan masanya untuk mengecas bateri hibrid Litium-ion 20-kWj, manakala roda hadapan dan belakang digerakkan dengan dua motor elektrik yang diletakkan pada gandar masing-masing, membolehkan ia bergerak dengan sistem pacuan semua roda sepenuh masa, serta diberikan tujuh mod agihan tork iaitu Normal, Power, Eco, Tarmac, Gravel, Snow dan Mud.
Menurut Nissan, konfigurasi ini menghasilkan kuasa keseluruhan 248 hp dan tork maksima 437 Nm – agak kurang berbanding Outlander PHEV yang dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 302 hp (306 ps). Nissan turut menyatakan bahawa Rouge PHEV ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 61 km, dan satu tangki penuh petrol serta satu cas penuh bateri membolehkan ia bergerak sejauh 675 km – semua ini diuji dalam kitaran EPA. Untuk mengecas pula, dengan menggunakan pengecas rumah 240 volt, bateri boleh dipenuhkan dalam masa 7.5 jam.
Bagi rekaan dalaman, Rouge PHEV ini menyalin hampir kesemuanya kabin Outlander, dibezakan hanya logo pada roda stereng serta warna-warna kemasan dalaman. Ia diberikan skrin sesentuh untuk sistem infotaimen 9-inci yang datang standard dengan hubungan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto dengan wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci.
Varian Platinum pula ditambah dengan paparan head-up 10-inci, sistem audio premium Bose dengan sembilan-pembesar suara, serta dua soket 120 volt/1,500 watt pada but belakang dan tempat duduk belakang yang boleh digunakan untuk mengoperasikan pelbagai peralatan elektrik.
Untuk keselamatan pula, Rouge PHEV ini diberikan 11-beg udara, kamera pemantau sekeliling 360-darjah dengan pengesan objek bergerak, dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Nissan Safety Shield 360, serta fungsi pemanduan autonomi Nissan ProPILOT Assist 1.12 yang memberikan bantuan stereng, brek dan juga memecut.
Nissan Rouge PHEV 2026 ini dijadualkan akan mula dijual pada pasaran Amerika Syarikat bermula awal tahun hadapan.
The post Nissan Rouge PHEV 2026 didedahkan di Amerika Syarikat – <em>rebadge</em> dari Mitsubishi Outlander PHEV appeared first on Paul Tan’s Automotive News.













































