Seperti yang diketahui, Nissan kini dalam rancangan pemulihannya dengan penstrukturan semula operasi kepada skala lebih kecil melibatkan penutupan banyak kilang pemasangannya di seluruh dunia. Dan yang terbaharu, jenama Jepun berkenaan telah menutup kilang pemasangannya di Rosslyn, Afrika Selatan dan menjual aset tersebut kepada Chery.
Perjanjian tersebut menyaksikan Chery bukan sahaja membeli tanah, bangunan serta aset-aset Nissan yang lain di fasiliti tersebut, malah termasuk sekali kilang stamping Nissan yang terletak berdekatan di mana penjualan ini akan dilengkapkan menjelang pertengahan 2026.
Kilang Nissan di Rosslyn ini hanya menghasilkan trak pikap Navara, di mana produksinya akan dihentikan pada Mei ini. Manakala majoriti pekerja Nissan di kilang tersebut ditawarkan untuk terus berkerja di bawah Chery kelak dengan terma dan syarat yang hampir serupa.
“Nissan mempunyai sejarah yang panjang dan membanggakan di Afrika Selatan dan telah berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk kakitangan kami, pelanggan kami dan rakan kongsi kami. Faktor luaran telah memberi impak yang ketara terhadap penggunaan kilang Rosslyn dan daya maju masa hadapannya dalam Nissan,” kata Jordi Vila, presiden Nissan Afrika.
“Melalui perjanjian ini, kami dapat menjamin pekerjaan untuk sebahagian besar tenaga kerja kami, sekali gus memelihara peluang untuk rangkaian pembekal kami. Langkah ini juga memastikan bahawa kilang Rosslyn akan terus menyumbang kepada sektor automotif Afrika Selatan,” tambahnya.
Dalam kenyataan yang sama Nissan mengesahkan bahawa ia akan terus berada di pasaran Afrika Selatan, cuma tidak terlibat dengan operasi pemasangan tempatan.
The post Nissan jual kilang produksi di Afrika Selatan kepada Chery – hampir semua pekerja diserap majikan baru appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















