Nissan telah memperkenalkan MPV tujuh-tempat duduk baharu di India yang dikenali sebagai Nissan Gravite. Walau bagaimanapun jika dilihat pada bahagian sisi dan juga belakang, MPV baharu ini sebenarnya adalah rebadge daripada Renault Triber, iaitu model yang diasaskan dari platform CMF-A Pakatan Renault-Nissan, juga membuat penampilan sulung globalnya di India pada 2019.
Menurut Nissan, pengenalan Gravite ini didorong dari momentum yang ditunjukkan oleh SUV segmen-A yang juga dibina khas untuk India iaitu Nissan Magnite, manakala nama ‘Garvite’ itu pula adalah dari inspirasi 1.4 bilion rakyat India dengan pelbagai latar belakang yang pelbagai.
Berbalik pada rekaan, muka Gravite dibezakan dengan gril dan bampar yang tidak sama dengan Triber. Model Nissan ini gril hadapan dengan elemen rekaan sarang lebah kemasan Piano Black, serta bampar yang direka untuk nampak lasak seperti SUV menampilkan kemasan perak dengan jalur merah berbentuk-C pada setiap sisi serta skid plate pada bahagian tengah bawah.
Kluster lampu hadapan masih nampak serupa, tetapi susunan projektor dan jalur LED di dalamnya berbeza. Rekaan penutup bonet hadapan juga masih nampak sama, tetapi ia menampilkan skrip ‘GRAVITE’ pada hujung muncung ala-Range Rover. Seperti Triber, Garvite juga menerima rel bumbung dan pelindung-pelindung badan plastik pada semua perumah roda, namun MPV Nissan ini diberikan rekaan rim yang lebih tersendiri.
Di belakang, sekali lagi kluster lampu yang diberikan masih nampak sama, tetapi Garvite di berikan lensa lampu jenis jernih. Seperti juga bampar hadapan, bampar belakang Gravite diberikan kemasan perak dengan jalur merah berbentuk-C pada setiap sisi bersama skid plate pada bahagian tengah bawah bagi menyerlah imej seperti SUV.
Gravite mungkin dilihat sebagai MPV yang diberikan rupa seakan SUV seperti Mitsubishi Xpander. Namun sebenarnya ia dihasilkan dengan saiz lebih kecil menampilkan ukuran panjang 3,987 mm, lebar 1,734 mm, tinggi 1,644 mm, jarak roda sejauh 2,636 mm serta kelegaan tanah setinggi 182 mm. Sebagai perbandingan Xpander diukur dengan panjang 4,475 mm, lebar 1,750 mm, tinggi 1,720 mm, jarak roda sejauh 2,775 mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 225 mm.
Untuk unit rangkaian kuasa, Gravite masih berkongsi enjin 1.0 liter tiga-silinder NA yang sama seperti Triber yang menghasilkan kuasa 72 PS dan tork maksima 96 Nm. Padanan transmisi juga serupa dengan pilihan sama ada kotak gear manual lima kelajuan atau Automated Manual Transmision (AMT) EZ Shift lima kelajuan untuk menghantar kuasa ke roda hadapan.
Rekaan dalaman Gravite juga masih lagi sama dengan Triber terutamanya rekaan pada papan pemuka, dibezakan dengan beberapa perincian seperti kemasan, perapi dan juga logo pada roda stereng. Dengan semua tempat duduk didirikan, ruang but belakang menyediakan kapasiti kargo 84 liter. Jika kedua-dua tempat duduk belakang dilipat, ruang berkenaan meningkat kepada 625 liter.
Antara perincian yang ditawarkan pada Gravite ini bergantung pada varian adalah skrin infotainmen 8-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar, paparan instrumen digital dengan skrin 7-inci, aliran penyejuk pada glove box dan ruang barang konsol tengah, sistem audio premium JBL dan pelbagai lagi
Tiada sebarang sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dipadankan, di mana untuk keselamatan Gravite diberikan enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, kawalan traction, bantuan mula mendaki, serta brek dengan sistem ABS, BA dan EBD.
Di India, Nissan Garvite ini dijual pada harga bermula 565,000 rupee (sekitar RM24k), ditawarkan dalam lima varian gred termasuk model edisi terhad Launch Edition, di mana dua varian paling asas hanya diberikan kotak gear manual manakala tiga varian lebih tinggi hadir dengan pilihan kotak gear manual dan AMT. Model ini diproduksi di kilang yang sama dengan Renault Triber iaitu di kilang Pakatan Renault-Nissan di Chennai.
Nissan tidak menyebut sama ada Gravite ini akan perkenalkan ke luar India atau tidak, namun untuk Renault Triber dan Nissan Magnite, kedua-duanya turut dieksport ke pasaran luar termasuk Indonesia.
The post Nissan Gravite diperkenalkan di India – MPV 7-tempat duduk bermula RM24k, <em>rebadge</em> dari Renault Triber appeared first on Paul Tan’s Automotive News.









































