Nissan Mexicana mengumumkan bahawa ia kini telahpun memulakan produksi bagi Nissan Versa – atau kita kenali di sini sebagai Almera – generasi baharu di kilang A1 Aguascalientes, Mexico. Namun ia belum lagi dilancarkan, dan Nissan masih belum mendedahkan apa-apa maklumat berkenaan model ini, kecuali menyiarkan tiga gambar rasmi sedan berkenaan yang baru disiapkan di kilang tersebut.
Tiga gambar berkenaan hanya mendedahkan bahagian hadapan sedan ini, menampilkan muka signatur baharu Nissan dengan lampu nyalaan siang nipis bersama bar hitam merentangi sepenuhnya bahagian muncung, bersama logo Nissan di tengah, sementara lampu hadapan utama dan gril diletakkan pada bampar hadapan.
Namun menerusi gambar-gambar yang tertiris sebelum ini, Versa 2026 tersebut masih menampilkan kerangka badan yang nampak sama seperti model generasi sebelumnya, dan juga lampu belakang pada badan yang masih diberikan rekaan boomerang. Namun model generasi baharu ini menampilkan bar hitam merentangi sepenuhnya penutup but bagi menghubungkan kedua-dua belah lampu, manakala perumah nombor pendaftaran dialih ke bampar.
Jadi tidak mustahil Versa generasi baharu ini sebenarnya masih menggunakan kerangka dan platform yang sama seperti generasi sebelumnya, kerana Nissan telah melakukan perkara yang sama terhadap Nissan Sentra generasi baharu yang didedahkan di Amerika Syarikat tahun lalu.
Malah Versa 2026 ini juga mungkin masih mengekalkan unit rangkaian kuasa yang sama – bagi pasaran Amerika dan Amerika Latin, Versa digerakkan oleh enjin 1.6 liter empat-silinder NA berkuasa 122 hp/154 Nm, berbeza dengan Almera di sini yang menerima enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 100 PS/152 Nm.
Namun Versa generasi baharu ini hanya akan kekal di pasaran Amerika Latin, manakala jualannya di Amerika Syarikat dan Kanada dihentikan pada model generasi sebelumnya. Nissan Versa ini juga merupakan model paling laris di Mexico dan telah terjual lebih dari satu juta unit sejak diperkenalkan pada 2011, dan sebab itulah model generasi baharu ini terus diproduksi di negara tersebut serta menjadi pasaran global pertama yang menerimanya.
“Kami bukan sahaja meraikan lembaran baharu dalam sejarah salah satu model kami yang paling ikonik, tetapi kami juga mengesahkan semula kekuatan, kerelevanan dan kekukuhan operasi pembuatan kami di Mexico. Mencapai pengeluaran lapan juta unit, terutamanya melalui Nissan Versa, membuatkan kami berasa bangga dan mendorong kami untuk terus membina kisah kejayaan ini,” kata Rodrigo Centeno, Presiden dan CEO Nissan dan Infiniti Mexicana.
Untuk pasaran Asia Tenggara, negara seperti Thailand sudahpun menerima Almera facelift pada 2023. Namun kita di Malaysia masih lagi ditawarkan Almera N18 dengan rupa yang sama sejak ia membuat kemunculan global sulung pada 2019. Jadi agaknya bila model generasi baharu ini akan tiba ke pasaran tempatan?
GALERI: Imej Nissan Versa 2026 yang tertiris
The post Nissan Almera 2026 mula diproduksi di Mexico – generasi baru tapi guna platform dan enjin sedia ada? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























