Dengan perjanjian antara kerajaan Amerika Syarikat dan kerajaan Jepun yang memudahkan sistem pensijilan bagi import-silang kenderaan kedua-dua negara, Nissan mengumumkan akan mula mengeksport Murano yang dibuat di Amerika Syarikat ke Jepun untuk dijual di pasaran negara asal jenama itu bermula awal 2027.

Sistem baharu ini membolehkan kereta yang telah diperakui oleh pengawal selia di Amerika Syarikat diimport ke Jepun dan dijual tanpa sebarang ujian keselamatan tambahan perlu dibuat di Jepun. Ini adalah sebahagian daripada perjanjian yang dicapai semasa rundingan tarif antara Amerika Syarikat dan Jepun tahun lalu.

Buat masa sekarang, Murano generasi keempat produksi di kilang Smyrna milik Nissan di Tennessee, di mana kilang berkenaan turut menghasilkan Pathfinder generasi kelima. Murano generasi baharu ini telahpun diperkenalkan di Amerika Syarikat pada Oktober 2024, namun sehingga kini ia belum dilancarkan di Jepun.

Nissan akan mula eksport Murano yang dibuat di Amerika Syarikat ke Jepun bermula 2027

Langkah bagi mengeksport Murano dari Amerika Syarikat ke Jepun ini dilaporkan bertujuan untuk menyerap kapasiti berlebihan di fasiliti yang kurang digunakan itu.

“Saya teruja untuk berkongsi dengan anda bahawa Murano akan kembali ke Jepun. Murano telah mendapat pujian yang tinggi daripada pelanggan di pasaran AS kerana reka bentuknya yang elegan dan keselesaan yang luar biasa. Ia telah dinamakan sebagai SUV bersaiz sederhana yang paling boleh diharap dalam Kajian Kebolehpercayaan Kenderaan AS (VDS) JD Power 2026 untuk tahun kedua berturut-turut. Dengan pengenalan model ini, Nissan menyasarkan untuk mengukuhkan lagi barisan produknya di Jepun dan memenuhi pelbagai keperluan pelanggan Jepun,” kata Ivan Espinosa, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan.

Selain Nissan, dua lagi jenama Jepun iaitu Toyota dan Honda telah mengumumkan untuk mengeksport beberapa model dari Amerika Syarikat ke Jepun bagi mengambil kesempatan terhadap kemudahan baharu ini. Toyota akan mengeksport Camry, Highlander dan Tundra, manakala Honda mengesahkan akan membawa pulang Acura Integra Type S dan Honda Passport dari Amerika Syarikat balik ke Jepun untuk dijual di sana.

The post Nissan akan mula eksport Murano yang dibuat di Amerika Syarikat ke Jepun bermula 2027 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts