Naza Automotive Group telah mengeluarkan satu kenyataan hari ini dengan menyatakan bahawa Naza Italia secara rasmi telah mengeluarkan notis kepada Maserati S.p.A. tentang hasrat pihaknya untuk menamatkan pengedaran jenama Itali itu. Naza berkata notis tersebut telah dikemukakan mengikut keperluan kontrak 180 hari di bawah perjanjian pengimportan dan pengedaran bertarikh 1 Januari 2009.
“Penamatan pengedaran Maserati merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas bagi Naza Auto untuk mempertingkatkan fokus terhadap jenama teras dan bidang pertumbuhan baharu.
“Perubahan fokus itu memberi tumpuan kepada memperkembangkan rangkaian Suzuki Cars Malaysia, pengalaman runcit dengan pengedar Mercedes-Benz di Bangsar, serta “pengukuhan inisiatif khidmat pelanggan, pelaburan dalam platform digital, dan penilaian aktif terhadap jenama automotif baharu, termasuk mobiliti EV dan peluang serantau di ASEAN,” menurut kenyataan daripada Naza Automotive Group.
Tahun ini, Suzuki Cars Malaysia di bawah Naza Eastern Motors telah memulakan rancangan peluasan rangkaian pengedarnya bagi mencapai pertumbuhan lebih 100% dalam tempoh tiga tahun akan datang, selain melabur dalam platform digital dengan sasaran peningkatan jualan Suzuki di Malaysia setiap tahun. Model terbaharu Suzuki yang tiba di Malaysia ialah Fronx Hybrid, yang dilancarkan bulan lalu.
Bagi Mercedes-Benz pula, pengedarnya NZ Wheels telah membuka cawangan Stars@Mercedes-Benz Bangsar bulan lalu, dan ia merupakan Stars@Mercedes-Benz pertama di ASEAN serta hanya yang ketiga di dunia selepas di Ginza, Tokyo dan Zurich, Switzerland. Konsep ini direka sebagai pusat urban perintis untuk mempamerkan model-model paling eksklusif daripada Mercedes-Benz, Mercedes-AMG dan Mercedes-Maybach, termasuk G-Class.
The post Naza umum tamatkan pengedaran Maserati di Malaysia; kini fokus pada Suzuki, Mercedes-Benz appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















