Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telahpun mengeluarkan garis panduan baharu untuk pengubahsuaian unit rangkaian kuasa sesebuah kenderaan dari menggunakan enjin pembakaran dalaman ke elektrik sepenuhnya (EV). Garis panduan ini meliputi keperluan dari segi teknikal dan undang-undang bagi memastikan pengubahsuaian yang dibuat dengan cara yang betul serta tidak menjejaskan sebarang fungsi dan juga standard keselamatan kenderaan tersebut.
Pengenalan garis panduan ini juga tidak bercanggah dengan peraturan sedia ada di mana pembinaan dan penggunaan sesebuah kenderaan di Malaysia dikawal melalui Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959. Setiap model kenderaan baharu perlum melalui proses Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) oleh JPJ bagi memastikanm pematuhan kepada standard keselamatan dan alam sekitar selaras dengan peraturan United Nations (UN) berdasarkan peruntukan Seksyen 66(1)(pp), APJ 1987.
Merujuk kepada Kaedah 94(2), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, tiada komponen, sistem, bahagian atau aksesori yang dipasang pada kenderaan boleh diubah, diubahsuai, ditukar atau diganti sehingga menyebabkan ia tidak mengikut spesifikasi asal pengeluar kenderaan atau pengeluar peralatan asal, melainkan dengan kelulusan terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah JPJ tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Dengan peruntukan ini, JPJ dapat membenarkan pengubahsuaian dari enjin pembakaran dalam kepada EV tetapi ia memberi penekanan bahawa setiap pengubahsuaian perlu dilaksanakan secara terkawal dan berlandaskan undang-undang bagi menjamin keselamatan. Namun menurut JPJ, garis panduan ini tidak terpakai kepada kenderaan yang digunakan bagi tujuan off-road atau kenderaan prototaip bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Mengikut carta aliran garis panduan ini, proses bagi mendapatkan kelulusan pengubhasuaian dari enjin pembakaran dalaman ke EV ini perlu bermula dengan menghantar rekaan konsep ubahsuai kepada JPJ. Ia termasuk perincian berkenaan kenderaan yang akan diubahsuai dan juga semua perubahan dan tambahan yang perlu dibuat termasuk diagram terperinci terhadap sistem yang akan digunakan. Selepas semua ini dihantar, JPJ akan meneruskan proses penilaian dan memberikan maklum balas.
Selepas JPJ berpuasahati dengan kerja-kerja pengubahsuaian tersebut menerusi pemeriksaan dan pengujian kenderaan yang telah siap diubahsuai dan menepati keperluan oleh penilai servis teknikal, barulah sesebuah kenderaan yang diubahsuai dari menggunakan enjin kepada motort elektrik tersebut diluluskan.
Seperti yang anda boleh lihat pada garis panduan penuh yang kami lampirkan di bawah, kenderaan yang diubahsuai dan mahu menerima kelulusan untuk digunakan di atas jalan raya berkenaan perlulah melepasi pelbagai standard, termasuk bengkel yang melakukan kerja-kerja berkenaan juga perlu berdaftar dengan JPJ.
Selepas kenderaan berkenaan melepasi peringkat ini, barulah pemiliknya atau bengkel yang menjalankan pengubahsuaian (dengan persetujuan pemilik kenderaan) berkenaan akan menghantar permohonan bersama dokumen yang diperlukan kepada JPJ untuk kelulusan akhir sebelum kenderaan yang telah siap dibenarkan digunakan secara sah di atas jalan raya.
Dengan pengenalan garis panduan ini, bermakna kini tidak mustahil lagi untuk anda mengubahsuai kenderaan anda yang kini bergerak dengan kuasa bahan api fosil bertukar kepada kuasa elektrik penuh. Namun kos yang perlu dikeluarkan mungkin tidak murah kerana JPJ mahu memastikan kerja-kerja yang dilakukan tidak ‘cincai’ dan selamat digunakan di atas jalan raya.
The post Nak ubah enjin pembakaran dalaman kereta anda ke EV? JPJ kini sudah keluarkan garis panduan baharu appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






































