Sepanjang minggu lalu, individu yang mengakses aplikasi mudah alih MyJPJ yang dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan memasukkan 12 digit nombor kad pengenalan (MyKad) dan kata laluan mungkin mendapati mereka masih boleh berbuat demikian, walaupun MyDigital ID telah diumumkan sebagai satu-satunya kaedah log masuk untuk aplikasi tersebut bermula 1 Februari 2026.
Ini kerana tarikh akhir bagi keperluan tersebut telah dilanjutkan ke 1 Mac, berkemungkinan bagi memberi peluang kepada mereka yang belum mendaftar untuk berbuat demikian. Pada November tahun lalu, JPJ memaklumkan bahawa kira-kira 13 juta pengguna telah memuat turun atau mendaftar aplikasi MyJPJ, dan daripada jumlah itu, 1.3 juta pengguna telah mula menggunakan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi tersebut.
JPJ turut berkata bahawa sekitar 11 juta pengguna masih belum mendaftar MyDigital ID pada ketika itu. Walau bagaimana pun, tiada kemas kini mengenai jumlah pendaftaran setakat ini, namun berdasarkan sikap kebiasaan rakyat Malaysia dalam hal sebegini, boleh diandaikan bahawa peratusan mereka yang masih belum berdaftar berkemungkinan besar masih tinggi.
Jika anda belum mendaftar, segeralah berbuat demikian. Proses pendaftarannya agak mudah. Penggunaan MyDigital ID ini hanya terpakai untuk warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, manakala mereka yang berumur di bawah 18 tahun serta pemegang kad MyPR akan terus menggunakan kaedah log masuk biasa.
The post MyDigital ID sebagai kaedah log masuk tunggal ke aplikasi MyJPJ mulai 1 Mac selepas sebulan ditangguh appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















