Kementerian Dalam Negeri mengumumkan bahawa MyDigital ID akan menjadi kaedah log masuk tunggal bagi aplikasi MyNIISe (National Integrated Immigration System) bermula 15 Januari 2026. Ini hanya dikenakan ke atas warga negara Malaysia sahaja, manakala pengunjung warga asing kekal menggunakan kaedah log masuk sedia ada tanpa sebarang perubahan.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu menyatakan pelaksanaan MyDigital ID adalah sebahagian daripada inisiatif NIISe, yang bermatlamat untuk mengesahkan identiti pengguna dengan tepat dan selamat melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tanpa menyimpan data peribadi pengguna. Projek NIISe ini bakal menggantikan Malaysian Immigration System (MyIMMs), yang telah digunakan sejak lebih 20 tahun lalu.

“Pendekatan ini memperkayakan lagi keselamatan transaksi digital, dan dalam masa yang sama mempertingkat pengalaman pengguna melalui hanya satu log masuk, yang tidak lagi memerlukan pengguna mengingat beberapa kata laluan berbeza. Warga negara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas adalah digalakkan untuk memuat turun dan mendaftar untuk MyDigital ID sebelum menggunakan MyNIISe,” jelas kenyataan tersebut.

Aplikasi MyNIISe diperkenalkan pada 22 September tahun lalu, dan kini sedang dalam fasa percubaan hingga 28 Februari 2026 di Bangunan Sultan Iskandar (BIS) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru. Ia kelak akan diperluas secara berperingkat ke Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan juga di lapangan terbang Bayan Lepas, Kuching dan Kota Kinabalu. Setakat 30 Disember 2025, aplikasi MyNIISe mencatatkan sebanyak 599,967 muat turun dan 287,258 pengguna berdaftar.

MyDigital ID jadi kaedah log masuk tunggal MyNIISe untuk semua warga Malaysia bermula 15 Januari ini

Dalam tempoh percubaan itu, sistem kod QR dan aplikasi MyBorderPass masih boleh digunakan. Dijangka aplikasi MyNIISe akan menggantikan MyBorderPass lepas selesai fasa percubaan, kerana aplikasi berkenaan akan tamat pada penghujung Mac tahun ini.

Aplikasi MyNIISe berbeza dengan MyBorderPass dari beberapa sudut. Pertama, MyBorderPass hanya untuk warga negara Malaysia, manakala MyNIISe adalah untuk warga Malaysia dan pelancong dari 63 negara khusus yang bertujuan untuk mempercepat pemeriksaan imigresen melalu kemudahan autogate — dengan pelancong perlu mengisi juga kad ketibaan digital dalam aplikasi MyNIIse.

Selain itu, hanya satu kod QR diperlukan untuk melepasi pemeriksaan imigresen bagi yang masuk secara berkumpulan, menjadikannya lebih mudah berbanding MyBorderPass yang memerlukan semua mengimbas kod satu per satu. Pengguna berkenderaan juga boleh menggunakan MyNIISe untuk pemeriksaan imigresen, termasuk yang memandu kereta, bas, lori dan motosikal. Untuk MyBorderPass, hanya penumpang bas dan motosikal boleh menggunakannya, serta mereka yang melalui KLIA.

Ringkasnya, MYNIISe menyepadukan semua urusan imigresen ke dalam satu aplikasi. Anda boleh memuat turun MyDigital ID melalui Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery.

The post MyDigital ID jadi kaedah log masuk tunggal MyNIISe untuk semua warga Malaysia bermula 15 Januari ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts