Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan bahawa kerja-kerja baik pulih bekalan kuasa bagi MRT Laluan Putrajaya telah selesai sepenuhnya dan perkhidmatan tren telah kembali beroperasi seperti biasa pada pagi ini.

“Sehubungan itu, perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma yang sebelum ini disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan sepanjang tempoh gangguan turut ditamatkan,” kata syarikat terbabit.

Gangguan perkhidmatan yang dikesan pada 3 Mac 2026 adalah berpunca daripada kejadian kecurian kabel bekalan kuasa berhampiran Stesen Damansara Damai yang telah menjejaskan ramai penumpang perkhidmatan Laluan Putrajaya.

Sepanjang tempoh gangguan tersebut, Rapid Rail telah menempatkan hampir 180 kakitangan tambahan di stesen-stesen yang terlibat, selain menyediakan 20 buah bas perantara percuma bagi membawa penumpang yang terjejas meneruskan perjalanan ke destinasi mereka.

MRT Laluan Putrajaya kembali beroperasi seperti biasa – pemantauan digandakan bagi elak kecurian kabel

“Susulan kejadian tersebut, Rapid Rail telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

“Sebagai langkah pencegahan, pemantauan keselamatan di kawasan landasan dan fasiliti operasi turut dipertingkatkan melalui rondaan berterusan oleh pasukan Polis Bantuan bagi memastikan keselamatan infrastruktur serta kelancaran perkhidmatan,” kata Rapid Rail lagi.

Orang ramai turut digalakkan untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan landasan atau fasiliti tren dengan menghubungi talian Khidmat Pelanggan Rapid KL di 03-7885 2585, atau pihak berkuasa terdekat.

The post MRT Laluan Putrajaya kembali beroperasi seperti biasa – pemantauan digandakan bagi elak kecurian kabel appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts