MRT Laluan Putrajaya sedang mengalami gangguan perkhidmatan disebabkan isu bekalan kuasa antara stesen Sungai Buloh dan Damansara Damai.
Pasukan kejuruteraan Rapid Rail memaklumkan bahawa berlaku kecurian kabel berhampiran stesen Damansara Damai dan memandangkan kerja pembaikan berskala besar diperlukan, gangguan perkhidmatan dijangka berlarutan sepanjang hari ini.
Sehubungan dengan itu, tren dari Putrajaya Sentral (dan KL) akan berpatah balik di stesen Metro Prima di Kepong. Kekerapan tren ialah setiap enam minit. Terdapat tren ulang-alik antara Metro Prima dan Damansara Damai dengan selang masa lapan minit. Penumpang yang ingin ke Damansara Damai boleh menggunakan tren ulang-alik ini bagi menyambung perjalanan.
Bagi tren dari arah satu lagi, iaitu dari Kwasa Damansara, tren akan berpatah balik selepas membuat perjalanan singkat ke Damansara Damai. Kekerapan bagi laluan ini ialah setiap lapan minit.

Rapid Rail memaklumkan bahawa penumpang mungkin terpaksa menunggu lebih lama di platform, terutamanya di stesen antara Metro Prima dan Damansara Damai. Polis bantuan serta kakitangan stesen telah ditugaskan di stesen terlibat bagi membantu penumpang dan pengumuman akan dibuat di stesen.
Bas perantara turut disediakan dan beroperasi di laluan dari Metro Prima ke Kwasa Damansara, dengan kekerapan antara 15 hingga 30 minit pada waktu puncak dan 30 hingga 45 minit pada waktu bukan puncak. Kekerapan ini bergantung kepada keadaan trafik. Rapid Rail turut menasihatkan penumpang supaya mempertimbangkan pengangkutan alternatif bagi meneruskan perjalanan mereka.
The post MRT Laluan Putrajaya alami gangguan kuasa akibat kecurian kabel antara Sg Buloh-Damansara Damai appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















