Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan Larangan Pemanduan ke Atas Kenderaan Barangan (Road Ban) menggunakan jalan raya sepanjang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ia bakal dilaksanakan bagi tempoh empat hari iaitu 19 hingga 20 Mac (sebelum perayaan) serta 28 hingga 29 Mac 2026 (selepas perayaan). Larangan ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan risiko kemalangan sepanjang musim perayaan.

“Menjelang Aidilfitri, kita sering berdepan dengan peningkatan mendadak kemalangan jalan raya yang meragut nyawa akibat kecuaian dan kegagalan merancang perjalanan. Justeru, MOT akan melaksanakan Road Ban terhadap kenderaan berat pada 19 hingga 20 Mac dan 28 hingga 29 Mac sempena Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Tambahnya, JPJ akan memantau sektor pengangkutan darat dengan lebih kerap bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya berada pada tahap tinggi. Dalam masa yang sama, Loke turut menggesa rakyat mengutamakan pengangkutan awam, manakala pemandu kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman supaya mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan ketika memandu.

MOT keluarkan larangan kenderaan berat guna jalan raya dari 19-20 & 28-29 Mac sempena Aidilfitri 2026

Buat setakat ini, MOT belum mengeluarkan klasifikasi mengenai kenderaan terbabit. Namun seperti kelaziman pada setiap kali perayaan besar, ia melibatkan lori pembawa dan lori jongket yang berat dengan muatannya melebihi 7,500 kg, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda, dan traktor. Selain itu, ia juga membabitkan lori pengangkut barangan simen, besi keluli, batu, pasir, tanah, bahan binaan yang lain, amang, bijih timah, aras batu dan bahan galian yang lain.

Manakala kenderaan berat yang dilarang menggunakan jalan raya antara jam 8 malam hingga 8 pagi melibatkan lori kontena yang mengangkut barangan (kecuali lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan perindustrian di dalam negeri yang sama dan sebaliknya).

Selain itu, ia juga melibatkan lori kargo yang mengangkut barangan elektronik atau elektrik atau bahan industri kimia dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan perindustrian di dalam negeri yang sama dan sebaliknya, lori yang mengangkut tandan buah kelapa sawit segar, produk kelapa sawit mentah, getah sekerap dan susu getah dan lori kargo tanpa muatan.

Bagi kren bergerak dan lori pembancuh simen, larangan ditetapkan antara jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu. Walau bagaimana pun, jentera berat beroda dan kren bergerak adalah diberi pengecualian melaksanakan kerja-kerja kecemasan dan menyelamat.

The post MOT keluarkan larangan kenderaan berat guna jalan raya dari 19-20 & 28-29 Mac sempena Aidilfitri 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts