Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali lagi mengalami gangguan pagi tadi hingga memaksa para penumpang membawa sendiri bagasi dan berjalan dalam gelap di atas platform. Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, gangguan perkhidmatan itu disebabkan masalah pada sistem bekalan kuasa.

Disebabkan pelbagai isu yang timbul berkaitan perkhidmatan Aerotrain ini, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarah untuk membuka kertas siasatan terhadap MAHB, kata Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke.

Menurut Loke, arahan tersebut dikeluarkan berikutan MOT mendapati perkhidmatan Aerotrain masih berdepan gangguan walaupun sudah beroperasi semula selama beberapa bulan, laporan Bernama.

“Saya mengarahkan APAD membuka kertas siasatan terhadap MAHB selaku pengendali perkhidmatan Aerotrain. Pada peringkat awal operasi Aerotrain, kementerian mengambil maklum MAHB memerlukan masa bagi menyesuaikan diri.

MOT arah APAD buka kertas siasatan terhadap MAHB ekoran masalah perkhidmatan Aerotrain di KLIA

“Bagaimanapun, memandangkan perkhidmatan Aerotrain sudah beroperasi selama beberapa bulan, APAD akan mengambil tindakan tegas terhadap MAHB bagi setiap insiden gangguan perkhidmatan,” katanya.

Loke berkata, lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan syarikat terbabit wajib memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna.

“Di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.

Pada 13 Oktober lalu, Timbalan Menteri MOT, Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan bahawa perkhidmatan operasi sistem Aerotrain telah mengalami gangguan sebanyak 19 kali antara 2 Julai hingga 30 September 2025. Gangguan terhadap perkhidmatan Aerotrain itu antaranya berkaitan isu teknikal, seperti semboyan dan disebabkan manusia, seperti penumpang cuba membuka pintu.

The post MOT arah APAD buka kertas siasatan terhadap MAHB ekoran masalah perkhidmatan Aerotrain di KLIA appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts