Kementerian Kewangan (MoF) telah memberikan maklum balas terhadap sebuah video tular yang menunjukkan dua individu mengisi petrol RON 95 ke dalam bekas container di sebuah stesen minyak di Skudai, Johor.

Dalam video tersebut, seorang lelaki dan seorang wanita dilihat mengisi petrol RON 95 ke dalam sebuah bekas yang diletakkan di dalam but sebuah sedan Nissan yang menggunakan nombor plat Johor. Berdasarkan peraturan sedia ada, warga negara Malaysia hanya dibenarkan untuk membeli sehingga 20 liter petrol tanpa membawa kenderaan ke pam minyak.

Bagi mereka yang memerlukan lebih daripada jumlah itu bagi tujuan kegunaan bukan-kenderaan, misalnya untuk pertanian, perlu memohon permit khas daripada Kementerian Perdagangan Domestik dan Kos Sara Hidup (KPDN). Dalam video tular berkenaan, pasangan terbabit telah mengisi sebanyak 71.77 liter minyak ke dalam bekas yang dibawa, bersamaan dengan 3.5 kali ganda daripada had yang dibenarkan (dengan andaian mereka tidak mempunyai permit khas). Tidak lama setelah itu, mereka dilihat mengalihkan pula kenderaan ke pam lain untuk mengisi minyak kereta yang dipandu itu.

“Siasatan yang dijalankan mendapaati individu terbabit merupakan warga negara Malaysia dan merupakan pemegang MyKad. Susulan daripada kejadian tersebut, MoF akan mengambil tindakan untuk menyekat kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi berkenaan, serta pemilik kenderaan terbabit, daripada terus menikmati Budi95,” jelas MoF dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut juga menegaskan, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk ketirisan atau salah guna subsidi, terutama dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu yang sedang dilalui ketika ini yang memerlukan kawalan lebih ketat terhadap bekalan dan harga bahan api. Tindakan penguatkuasaan juga akan dipertingkat untuk mengekang aktiviti tidak bertanggungjawab seperti ini, dan orang ramai digalakkan untuk menyalurkan sebarang aduan yang berkaitan.

The post MoF akan sekat MyKad individu salah guna Budi95 — susulan video tular isi RON 95 dalam <em>container</em> appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts