Jika sebelum ini, pengguna Rapid KL On-Demand diberikan tiga pilihan aplikasi iaitu Mobi, Trek Rides dan Kummute untuk menempah slot tempat duduk bagi perkhidmatan van perantara ini. Namun bermula 1 November 2025, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali van Rapid KL On-Demand di Lembah Klang akan melaksanakan penambahbaikan menyeluruh terhadap perkhidmatan ini melalui penyelarasan aplikasi tempahan.
Menurut syarikat ini, langkah strategik bagi menyelaraskan tiga aplikasi tempahan sedia ada kepada satu aplikasi bersepadu iaitu Rapid On-Demand, bagi memudahkan proses tempahan dan mempertingkat pengalaman pengguna.
Di mana penyelarasan ini akan dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan zon yang kini menggunakan aplikasi Mobi dan Trek Rides (Fasa 1) pada 1 November 2025, diikuti dengan zon yang menggunakan aplikasi Kummute (Fasa 2) pada pertengahan November 2025.

Sebelum ini, pengguna perlu memuat turun tiga aplikasi berasingan mengikut zon perkhidmatan. Dengan penyatuan ini, mereka kini hanya perlu menggunakan satu aplikasi sahaja untuk membuat tempahan Rapid On-Demand di semua zon yang dikendalikan oleh Rapid KL, menjadikan pengalaman perjalanan lebih mudah, pantas dan mesra pengguna.
“Penyatuan semua aplikasi kepada satu platform Rapid On-Demand merupakan langkah penting dalam usaha kami memudahkan pengalaman perjalanan pengguna. Sebelum ini, pengguna perlu memuat turun dan menggunakan aplikasi berbeza mengikut zon, yang boleh menimbulkan kekeliuan. Dengan aplikasi tunggal ini, proses tempahan menjadi lebih ringkas, pantas dan konsisten di semua kawasan liputan,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria.
Selain penyeragaman aplikasi, Ku Jamil turut berkata, peluasan zon juga akan dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan kesalinghubungan dan memudahkan pengguna ke pelbagai destinasi tanpa perlu menukar perkhidmatan.
Zon baharu melibatkan 50 buah van dan yang digabungkan adalah seperti berikut:
“Pada masa yang sama, penggabungan zon dilakukan bagi memperluas capaian perkhidmatan dan meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan utama. Langkah ini memastikan pengguna dapat bergerak ke lebih banyak destinasi dengan lebih mudah tanpa perl menukar perkhidmatan, sekaligus menjadikan pengangkutan awam pilihan yang lebih efisien dan mesa pengguna,”jelas Ku Jamil lagi.
Aplikasi Rapid On- Demand ini boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store. Pengguna sedia ada dinasihatkan untuk mengemas kini atau beralih kepada aplikasi baharu ini sebelum 1 November bagi memastikan akses perkhidmatan berjalan lancar. Promosi tambang RM1 juga mash diteruskan kepada semua pengguna.
Antara kaedah pembayaran yang diterima ialah menggunakan kad Touch ‘n Go, kad Konsesi MyRapid, kad debit atau kredit, Pas Perjalanan OKU Smile dan Pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity, MyTourist, Pas Famili).
The post Mobi, Trek Rides, Kummute diselaras dengan aplikasi bersepadu Rapid On-Demand mulai 1 Nov 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















