Mitsubishi Xpander 2026 menerima kemas kini terbaru bagi model tahun 2026 pada Mei 2025, dan MPV tujuh tempat duduk ini sekarang dipamerkan kepada umum di acara Bangkok International Motor Show 2026 yang sedang berlangsung.
Kemas kini kecil bagi tahun 2026 ini melibatkan kedua-dua varian Xpander HEV dan Xpander Cross HEV, namun model yang dipaparkan di sini ialah versi Xpander HEV. Di pasaran Thailand, Xpander HEV ditawarkan pada harga 939,000 baht (sekitar RM113,723), manakala Xpander Cross HEV pula berharga 969,000 baht (sekitar RM117,357).
Dari segi dimensi, Xpander 2026 berukuran 4,595 mm panjang, 1,750 mm lebar dan 1,750 mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 2,775 mm. Jarak antara roda hadapan ialah 1,520 mm manakala belakang 1,510 mm, dan kelegaan tanah dicatatkan pada 205 mm.
Bagi sistem pacuan, Xpander HEV menggunakan enjin petrol 1.6 liter NA berkod 4A92 yang menghasilkan 95 PS pada 5,100 rpm dan 134 Nm pada 4,500 rpm. Enjin ini digandingkan dengan motor elektrik yang menjana 116 PS dan 255 Nm, dikuasakan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 1.1 kWh, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan. Tangki bahan api pula berkapasiti 40 liter.
Model ini turut menawarkan tujuh mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel, Tarmac, Mud, Charge dan EV. Sistem Active Yaw Control yang turut digunakan pada model lain seperti Xforce juga disertakan bagi meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh.
Dari sudut casis, konfigurasi suspensi kekal dengan tetapan MacPherson di hadapan lengkap dengan anti-roll bar dan strut brace, manakala bahagian belakang menggunakan tetapan torsion beam. Sistem brek terdiri daripada cakera berliang di hadapan dan cakera biasa di belakang. Ia menggunakan rim aloi 17 inci dengan tayar bersaiz 205/55R17.
Ciri bantuan pemanduan merangkumi amaran titik buta dengan bantuan penukaran lorong, amaran keluar lorong dan amaran lintasan trafik belakang. Ciri keselamatan aktif lain termasuk kawalan kestabilan, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, bantuan brek, EBD dan ABS. Turut disertakan ialah kunci pintu automatik berdasarkan kelajuan serta kamera pandang belakang, manakala keselamatan pasif merangkumi enam beg udara.
Dari segi luaran, Xpander 2026 dilengkapi lampu utama LED automatik bersama DRL, lampu kabus hadapan LED dan lampu belakang kombinasi LED. Cermin sisi hadir dengan fungsi pelarasan dan lipatan elektrik serta lampu isyarat binaan dalam. Selain itu, terdapat pengelap cermin hadapan dengan pengesan hujan dan fungsi nyahkabus cermin belakang.
Di bahagian dalaman, kabin menggunakan balutan kulit sintetik berwarna hitam dengan aksen berwarna tembaga. Paparan instrumen pemandu terdiri daripada skrin LCD berwarna bersaiz lapan inci. Stereng boleh dilaras secara tilt dan teleskopik, manakala tempat duduk pemandu menawarkan pelarasan ketinggian.
Tempat duduk baris kedua boleh dilipat 40:20:40 serta mempunyai fungsi lipat dan tumbang 40:60, selain boleh digerakkan ke hadapan dan ke belakang. Baris ketiga pula menawarkan lipatan 50:50 serta fungsi sandaran boleh laras. Kemudahan lain termasuk pemegang botol di pintu hadapan dan belakang, pemegang cawan untuk baris ketiga, enam pemegang tangan serta ruang simpanan bawah lantai.
Untuk pengecasan peranti, terdapat soket USB-A dan USB-C di baris kedua, serta satu soket kuasa 12 volt di baris hadapan dan baris ketiga. Sistem infotainmen pula menggunakan skrin sentuh bersaiz 10 inci dengan sokongan Bluetooth, Android Auto dan Apple CarPlay.
Di Thailand, Xpander HEV 2026 ditawarkan dalam pilihan warna Graphite Grey, Blade Silver serta White Diamond dua tona dengan bumbung hitam kontras. Model ini dijual pada harga 939,000 baht (sekitar RM113,723) untuk pasaran tersebut.
The post Mitsubishi Xpander Hybrid facelift 2026 di Thailand – ADAS, enjin NA 1.6L 95 PS, motor elektrik 116 PS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.








































