Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengeluarkan teaser terkini bagi Mitsubishi Xforce baharu, susulan pengumuman rasmi mengenainya baru-baru ini. SUV segmen-B ini akan dibuka tempahan mulai awal Februari ini, kata MMM. Malahan pendaftaran minatnya (ROI) juga telah mula dibuka.
Selepas menyiarkan teaser yang mendedahkan imej luaran Xforce, kini tiba masanya pula didedahkan ruang kabin termasuk papan pemukanya. “Luas, kemas dan direka dengan teliti untuk praktikaliti serta keselesaan. Lihat dengan lebih dekat bahagian dalaman Mitsubishi Xforce serba baharu, yang direka untuk pemanduan moden,” seperti yang dicatat menerusi kapsyen.
Pastinya ciri dalaman yang paling menarik perhatian ialah pembesar suara Yamaha jenis ‘Coaxial-2Way’, yang bermaksud kita akan menerima Dynamic Sound Yamaha Premium System seperti yang ditawarkan di pasaran ASEAN lain. Memang agak ‘rare’ juga jenama sistem audio ini kerana ia jarang ditemui dalam segmen SUV jenama mainstream, tetapi ia cukup popular di kalangan penggemar audio.
Bukan itu saja, menerusi teaser tersebut, dipaparkan papan pemuka balutan fabrik, ini antara ciri yang menarik perhatian. Teksturnya kelihatan sedikit kasar namun rekaan grey melange memberikan sentuhan yang lebih istimewa.
Selain itu, kelihatan kabin Xforce bertema gelap dan menawarkan gabungan antara skrin digital dan butang fizikal. Jika spesifikasi yang dibawa sama seperti pasaran Indonesia, skrin infotainmen utama diberikan unit bersaiz 12.3-inci, manakala panel meter digital pula berukuran 8.0-inci. Satu perkara yang positif ialah panel kawalan penyaman udara masih menggunakan reka bentuk tradisional dengan butang kawalan, selain turut kelihatan ruang but SUV yang besar serta tempat duduk belakang dengan fungsi lipat 40:20:40.
Memiliki ukuran dimensi panjang 4,390 mm, lebar 1,810 mm dan tinggi 1,660 mm serta jarak roda 2,650 mm, ia berada di antara Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross dari segi saiz, dan juga sedikit lebih besar berbanding Perodua Traz yang baru dilancarkan dan Yaris Cross yang juga bakal memasuki pasaran tempatan tak lama lagi.



Xforce ditampilkan dengan enjin petrol NA 1.5 liter 4A91 DOHC MIVEC yang sama seperi MPV Mitsubishi Xpander, mampu menghamburkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada 4,000 rpm. Walau bagaimana pun, ia digandingkan dengan kotak gear CVT yang memacu hanya roda hadapan, berbanding transmisi automatik empat-kelajuan pada Xpander.
Orang ramai boleh melihat Mitsubishi Xforce secara langsung menerusi program jelajah “roving truck activation” di seluruh negara. Dari 16 hingga 29 Januari, trak pameran ini akan menjelajah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, sebelum bergerak ke Pulau Pinang, Perak dan Johor dari 5 hingga 15 Februari. Ia juga akan singgah di Kuantan dan Kelantan sebelum kembali semula ke Lembah Klang dari 1 hingga 15 Mac. Lokasi tepat dan maklumat terkini akan dikongsikan melalui media sosial MMM.
Sekali lagi, Mitsubishi Xforce bakal dibuka tempahan mulai awal bulan hadapan dan bagi sesiapa yang sudah mendaftarkan minat untuk SUV ini bakal menerima jemputan bagi siri jelajah, pengumuman dan kemaskini produk eksklusif serta pengalaman berkaitan pelancaran, dan juga notifikasi bagi early-bird. Adakah anda teruja dengan Mitsubishi Xforce yang bakal dilancarkan ini? Kongsikan pendapat anda bersama kami.
GALERI: Mitsubishi Xforce di GIIAS 2023
The post Mitsubishi Xforce keluar teaser baharu – tayang sistem bunyi Yamaha dan papan pemuka balutan fabrik appeared first on Paul Tan’s Automotive News.












































































