Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengeluarkan teaser bagi Xforce menerusi media sosial dan pendaftaran minat (ROI) juga kini dibuka. Manakala bagi yang berminat memiliki Xforce, MMM berkata, SUV ini boleh ditempah bermula awal Februari 2026.
SUV segmen-B spesifik untuk pasaran ASEAN ini diperkenalkan di peringkat global pada Ogos 2023 di Indonesia. Kehadirannya akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh ASX, yang telah meninggalkan pasaran Malaysia dalam diam-diam beberapa tahun lalu.”
Memiliki ukuran dimensi panjang 4,390 mm, lebar 1,810 mm dan tinggi 1,660 mm serta jarak roda 2,650 mm, ia berada di antara Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross dari segi saiz, dan juga sedikit lebih besar berbanding Perodua Traz yang baru dilancarkan dan Yaris Cross yang juga bakal memasuki pasaran tempatan tak lama lagi.
Bagi imej luarannya, Xforce mampu menandingi barisan SUV pesaing dari aspek reka bentuk, dengan ciri rekaan menarik termasuk bumbung terapung, lengkungan fender yang berotot serta elemen pencahayaan hadapan dan belakang dengan tandatangan berbentuk huruf T.
Di bahagian dalaman, SUV ini menampilkan papan pemuka rendah bersudut yang disaluti fabrik serta dilengkapi paparan skrin iaitu skrin 8.0-inci untuk kluster instrumen dan skrin sentuh 12.3-inci bagi sistem infotainmen. Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar ditawarkan sebagai ciri standard, manakala versi lebih tinggi dilengkapi sistem bunyi Dynamic Sound Yamaha Premium dengan lapan pembesar suara, walaupun masih belum dapat dipastikan berapa banyak varian yang akan ditawarkan di pasaran tempatan.
Xforce ditampilkan dengan enjin petrol NA 1.5 liter 4A91 DOHC MIVEC yang sama seperi MPV Mitsubishi Xpander, mampu menghamburkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada 4,000 rpm. Walau bagaimana pun, ia digandingkan dengan kotak gear CVT yang memacu hanya roda hadapan, berbanding transmisi automatik empat-kelajuan pada Xpander.
Selain itu, Xforce ini turut diberikan sistem Active Yaw Control (AYC) yang mampu mengagihkan tork antara roda kiri dan kanan hadapan mengikut situasi pemanduan, membolehkan ia dipandu meredah permukaan off-road walaupun hanya memacu roda hadapan. Bukan itu sahaja, ia juga diberikan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud.
Untuk keselamatan, Xforce yang telah diberikan penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP diberikan enam beg udara dan sistem bantuan pemandu termasuk brek kecemasan sendiri, kawalan peluncuran adaptfif (ACC), lampu tinggi automatik (AHB), amaran titik buta (dengan fungsi bantuan menukar lorong) dan kepekaan trafik lintasan belakang (RCTA).
GALERI: Mitsubishi Xforce di GIIAS 2023
The post Mitsubishi Xforce di Malaysia – pendaftaran minat dibuka, tempahan mulai Feb 2026 – 1.5L NA, CVT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.











































































