Satu-satunya varian trak pikap Mitsubishi Triton pasaran Jepun iaitu Triton GSR kini menerima tingkat taraf ‘Performance Damper’ yang dihasilkan oleh Yamaha Motor.

Namun jangan salah faham, ‘Damper’ yang dimaksudkan bukanlah penyerap hentak pada sistem suspensi, sebaliknya merupakan peredam getaran yang diletakkan pada struktur badan hadapan dan belakang trak pikap tersebut, berfungsi untuk membantu mengawal herotan casis dan menyerap getaran daripada badan kenderaan semasa memandu.

Menurut Mitsubishi, dengan pemadananan Performance Damper berkenaan dapat memberikan keselesaan yang lebih baik dalam kabin, menambahbaik kestabilan pengendalian dengan mengurangkan pergerakan menegak ketika ia pandu meredah jalan yang tidak rata serta mengurangkan getaran yang dipindahkan dari enjin.

Performance Damper berkenaan sebelum ini bukan sahaja telahpun dipasang pada beberapa model mewah keluaran Lexus dan Toyota, malah ia juga telah pun digunakan pada jentera rali Triton yang memenangi Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun lalu.

Selain itu Triton GSR JDM 2026 ini juga diberikan suspensi hadapan dan juga cagak badan yang dioptimakan untuk mengurangkan getaran dan meningkatkan kadar responsif. Tingkat taraf lain diberikan pada model kemaskini ini termasuk bantuan tailgate dan juga penyegar udara Panasonic Nanoe X yang kini diberikan sebagai perincian standard.

Juga diumumkan Triton GSR pasaran Jepun ini menerima perapi untuk konsol tengah dan juga pemegang pintu yang kini hadir dalam kemasan titanium gelap.

Walau bagaimanapun Triton GSR di Jepun ini masih diberikan unit rangkaian kuasa yang sama seperti model pasaran Malaysia di mana ia dibekalkan dengan enjin 4N16 MIVEC Turbodiesel 2.4 liter berkuasa 204 PS dan tork maksima 470 Nm, digandingkan bersama kotak gear enam-kelajuan automatik dan juga sistem Super Select 4WD-II.

Mitsubishi Triton GSR 2026 ini ditawarkan pada harga 5,518,700 yen (sekitar RM142k), dan akan mula dijual di pasaran Jepun bermula 19 Februari 2026.

The post Mitsubishi Triton GSR 2026 pasaran Jepun didedah – terima Performance Damper dari Yamaha Motors appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts