Mitsubishi telah menyiarkan teaser untuk sebuah SUV baharu di mana ia muncul pada bahagian akhir satu video yang dibuat untuk meraikan kejayaan trak pikap Triton dalam perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun lalu. Dalam video tersebut, Mitsubishi meletakkan kemenangan Triton dalam AXCR berkenaan sebagai penerus kejayaannya dalam pelbagai kejohanan rali sebelum ini termasuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan juga Rali Paris-Dakar (dikenali sebagai Rali Dakar sekarang).
Tiada sebarang perincian disebut oleh Mitsubishi berkenaan SUV tersebut dalam video ini. Namun dengan mengangkat Triton, ini mungkin model generasi baharu Pajero Sport yang sememangnya dihasilkan dari platform ladder frame yang sama dengan Triton.
Model generasi sedia ada Pajero Sport sudahpun berada sedekad dalam pasaran, dan menerima facelift terakhir pada 2024 di mana ketika itu Triton sudahpun hadir dalam model generasi baharu seterusnya. Jadi sememangnya logik untuk Mitsubishi memperkenalkan Pajero Sport generasi baharu bila-bila masa sahaja dari sekarang.
Walau bagimanapun menurut laporan media automotif Australia CarExpert, SUV baharu ini mungkin akan dikenali sebagai Pajero, bagi menghidupkan kembali legasi SUV Mitsubishi yang telahpun ditamatkan pengeluarannya pada 2021. Bagi yang belum mengetahui, Pajero dan Pajero Sport adalah dua model berbeza, di mana Pajero merupakan model lebih mewah yang dibina berasaskan kerangka unibody yang disatukan dengan kerangka ladder frame bagi memberikan keselesaan lebih baik.
Malah Pajero Sport yang lazimnya dikilangkan di Thailand bersama dengan Triton tidak pernah dijual di pasaran Jepun – mengambil kira video ini dibuat dalam bahasa Jepun, ada kemungkinan ia akan masuk ke pasaran negara tersebut dan ini boleh jadi satu lagi sebab mengapa ia akan dikenali sebagai Pajero dan bukan Pajero Sport.
Walaupun hanya muncul sekitar dua saat dengan keadaan cahaya yang rendah dalam video tersebut, dapat dilihat bahawa SUV baharu ini menerima lampu hadapan berbentuk-T dan juga gril yang besar seakan SUV-SUV terbaharu Mitsubishi seperti Xforce dan Destinator. Ia juga menampilkan badan yang lebih tegap serta berkotak berbanding Pajero Sport generasi sedia ada.
Sekiranya SUV baharu dibangunkan menggunakan kerangka Triton, ia berkemungkinan akan menerima unit rangkaian kuasa yang sama. Triton generasi terkini digerakkan dengan enjin 4N16 2.4 liter MIVEC turbodiesel yang ditawarkan dalam versi turbo tunggal dan berkembar, dengan versi talaan paling berkuasa menampilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 470 Nm. Ia turut menawarkan kotak gear enam kelajuan automatik serta sistem 4WD Super Select II untuk meredah laluan off-road yang lasak.
The post Mitsubishi siar teaser SUV baru berasaskan trak pikap Triton – ini adalah Pajero dan bukan Pajero Sport? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















