Pasukan Mitsubishi Ralliart telah mengesahkan penyertaannya dalam rali rentas negara Asia Cross Country Rally (AXCR) untuk edisi tahun ini yang akan bermula dan berakhir di Pattaya, Thailand dari 8 hingga 9 Ogos 2025.
Tahun ini pasukan yang dikendalikan oleh Tant Sports Thailand dan diketuai oleh juara rali dakar dua kali Hiroshi Masuoka tersebut telah mengurangkan jumlah jentera pasukan dari empat kepada tiga, di mana pasangan Thailand iaitu Sakchai Hantrakul dan juruarah Jumpol Doungthip tidak lagi ditugaskan untuk memandu.
Dua pasangan utama iaitu juara AXCR 2022 Chayapon Yotha bersama juruarah Peerapong Sombutwong, dan juga pemandu Ralliart yang berpengalaman lama (termasuk pernah memandu untuk pasukan Proton PERT) iaitu Katsuhiko Taguchi dan juruarahnya Takahiro Yasui ditugaskan untuk memandu dua buah Mitsubishi Triton utama yang dipertingkatkan berbanding jentera tahun lalu.
Jentera tersebut telah didedahkan pada bulan Mac lalu. Ia masih dibina berdasarkan spesifikasi Group T1 FIA, tetapi kini diberikan pengubahsuaian yang lebih ekstrem berbanding Triton standard. Dari bahagian sisi boleh dilihat Triton Ralliart Group T1 2025 ini menampilkan bed belakang lebih pendek, menjadikan panjang keseluruhannya kini hanya 5,070 mm berbanding 5,320 mm asal.
Badannya juga kini lebih lebar iaitu 1,995 mm berbanding 1,865 mm pada versi standard bagi menampung trek roda yang kini semakin lebar mencecah 1,730 mm berbanding lebar asal hanya 1,570 mm. Suspensi asal belakang yang sebelum ini menggunakan spring dedaun telah diubah menggunakan sistem spring gegelung dengan empat sambungan, manakala di hadapan masih kekal menggunakan sistem double wishbone.
Cusco membekalkan penyerap hentak berkembar boleh laras bersama spring untuk suspensi trak pikap rali ini. Semua pengubahsuaian casis yang dibuat ini adalah bagi mendapatkan cengkaman tayar dan kestabilan lebih baik.
Untuk roda, ia diberikan set rim aluminium aloi dari Work bersaiz 17-inci x 8J bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003 bersaiz 265/70R17. Dan untuk menghentikan trak pikap ini, ia dilengkapkan cakera berliang di hadapan dan belakang bersama angkup empat omboh, kesemuanya dibekalkan oleh Endless.
Bed belakang yang lebih pendek tersebut diperbuat dari material gentian karbon. Bukan itu sahaja, malah panel untuk bahagian penutup but enjin, fender hadapan serta pintu hadapan belakang turut diperbuat menggunakan material sama bagi mengurangkan beratnya. Kedudukan bahagian kemasukan unit snorkel pada fender hadapan sebelah kanan juga dilihat sudah sedikit berubah berbanding spesifikasi tahun lalu.
Triton T1 Ralliart ini masih lagi menggunakan enjin 4N16 2.4 liter DOHC MIVEC Turbodiesel asal, tetapi telah menerima talaan dan sentuhan khas oleh HKS, bersama sistem ekzos istimewa yang turut dihasilkan oleh penala dari Jepun itu. Kuasa yang dihasilkan adalah “217 PS atau lebih” bersama tork “500 Nm atau lebih”.
Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear perlumbaan sequential manual enam-kelajuan, yang digandingkan bersama sistem pacuan empat roda sepenuhnya masa, dengan LSD Cusco dipadankan pada gandar hadapan dan belakang.
Manakala sebuah lagi Triton T1 dipandu oleh pasangan Kazuto Koide juruarah Eiji Chiba yang membuat penampilan sulung di AXCR tahun lalu. Koide merupakan staf berpengalaman Mitsubishi Motors yang telah menyertai syarikat itu sejak 1998 sebagai pemandu ujian, serta mempunyai pengalaman mengendalikan jentera-jentera lagenda Mitsubishi termasuk Pajero dan Lancer Evolution. Beliau juga merupakan salah seorang jurulatih pemanduan untuk tenaga kerja Mitsubishi, dan terlibat dalam acara demonstrasi pemanduan yang dibuat oleh jenama itu di Jepun dan luar negara.
Jadi Triton T1 yang dipandu oleh Koide tahun ini agak berbeza dengan unit yang dipandu oleh Chayapon dan Taguchi kerana ia masih menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan bersama sistem pacuan empat roda Super Select-II Triton. Ia masih lagi lebih pendek dari biasa, tetapi masih menampilkan lebar badan dan trek roda yang sama dengan Triton standard, serta pintu belakang standard yang masih diperbuat dari logam.
Jun lalu pasukan Mitsubishi Ralliart telah melengkapkan ujian ketahanan beban penuh di litar off-road Khao Yai National Park Thailand bagi mensimulasikan keadaan ketika rali sebenar berlangsung kelak. Suspensi dan juga komponen casis lain turut ditala ketika ujian tersebut serta ketahanan badan dan enjin dipastikan cukup baik untuk menghadapi perlumbaan utama nanti.
“Ini merupakan kali ketiga kami berlumba dengan Triton baharu,” kata Hiroshi Masuoka. “Ia telah menunjukkan potensinya yang besar dalam pelbagai situasi, termasuk prestasi pecutan pada kursus berkelajuan tinggi, pengendalian pada laluan teknikal dan prestasi off-road di permukaan jalan yang sangat lasak seperti lumpur dan lintasan sungai.”
“Kali ini, selain meningkatkan tork enjin dan meningkatkan ketahanan, kami telah memperhalusi casis dan komponen lain untuk mencipta kereta yang mampu memenangi semuanya. Pasukan kami telah berkembang dalam pengalaman dan perpaduan, dan kami berada dalam keadaan terbaik untuk merebut kembali gelaran keseluruhan selepas tiga tahun. Jadi, sila nantikan – kami mengharapkan hasil yang hebat,” tambah Masuoka lagi.
Bagi perlumbaan tahun ini sempena sambutan edisi kali ke-30, laluan AXCR sepatutnya akan melibatkan perjalanan dari Pattaya Thailand ke Phnom Penh di Kemboja. Namun disebabkan krisis ketenteraan di sempadan Thailand dan Kemboja belum berakhir, perlumbaan ini hanya dibuat di dalam kawasan Thailand. Walau bagaimanapun jarak pengembaraan dan perlumbaan masih dikekalkan mencecah 2,500 km, berbanding hanya 2,000 km pada 2024.
Tahun lalu Chayapon Yotha hampir mengulangi kejayaannya menjadi juara pada 2022 selepas mendahului perlumbaan dengan kelebihan 20 minit di hadapan pada Leg 4, namun terpaksa menamatkan cabaran lebih awal selepas enjin Triton T1 yang dipandu tersebut gagal berfungsi 2 km sebelum garis penamat Leg 5.
The post Mitsubishi Ralliart kembali ke AXCR 2025 dengan Triton T1 kotak gear manual dan automatik 6-kelajuan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.