Mitsubishi memperkenalkan Elevance Concept di Japan Mobility Show 2025, sebuah kenderaan konsep SUV plug-in hybrid (PHEV) dengan konfigurasi enam tempat duduk dan sistem pacuan empat motor.
Model konsep ini menggunakan enjin petrol berkecekapan tinggi yang menyokong bahan api neutral karbon, digabungkan dengan bateri berkapasiti besar. Walaubagaimanapun, Mitsubishi masih belum mendedahkan angka rasmi mengenai kapasiti enjin atau baterinya.
Sistem PHEV Elevance Concept dilengkapi motor dalam roda (in-wheel motor) untuk gandar hadapan, manakala gandar belakang menggunakan dua motor dengan teknologi Active Yaw Control (AYC). Gabungan ini membolehkan setiap roda dikawal secara individu, meningkatkan keupayaan pacuan dan kestabilan ketika melalui permukaan jalan mencabar atau laluan off-road.
Menariknya, Mitsubishi turut menunjukkan kemampuan SUV ini untuk menunda treler, di mana treler itu dilengkapi kemudahan dapur dan pancuran mandi. Semua peralatan ini dikuasakan oleh bekalan elektrik daripada kenderaan itu sendiri, menjadikannya sesuai untuk aktiviti “glamping” atau percutian gaya moden dengan keselesaan penuh.
Bahagian dalaman Elevance Concept direka dengan pendekatan mesra pengguna. Tempat duduk hadapan boleh diputar agar penumpang barisan pertama dapat berhadapan dengan mereka di barisan kedua dan ketiga. Kenderaan ini juga menampilkan pemandu maya berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang berinteraksi melalui paparan LCD terbina dalam stereng.
Sistem AI ini memberikan cadangan pemanduan yang disesuaikan mengikut gaya hidup dan pilihan individu, selain menganalisis keadaan semasa kenderaan dan persekitaran secara langsung untuk mencadangkan mod pemanduan paling sesuai.
Reka bentuk papan pemuka pula menampilkan skrin paparan lebar, memberikan pandangan yang merangkumi kawasan titik buta hadapan serta kawasan sekeliling yang biasanya tidak kelihatan. Bahagian dalamannya direka dalam bentuk satu permukaan licin dari papan pemuka hingga ke lantai, manakala pintunya menggunakan kaca berbentuk-C untuk meningkatkan penglihatan sisi.
Walaupun beberapa elemen reka bentuknya masih bersifat konsep, gaya bahagian hadapan dan belakang Elevance Concept ini dijangka memberi bayangan kepada hala tuju reka bentuk masa depan Mitsubishi. Persoalannya kini — adakah rupa sebegini bakal menjadi inspirasi untuk model Pajero generasi baru nanti?
The post Mitsubishi Elevance Concept didedah – SUV PHEV dengan empat motor elektrik, enam tempat duduk appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





















