Mitsubishi Destinator, sebuah SUV tujuh tempat duduk yang menggunakan asas model Xforce kini telah menerima penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP.
Ini juga menandakan penghujung bagi protokol penilaian 2021-2025, dan protokol baru 2026-2030 akan mula dilaksanakan pada Januari nanti. Kereta berkenaan yang dipasang di Indonesia untuk pasaran tempatan di sana serta untuk dieksport ke Filipina dan Vietnam, telah diuji oleh Japan Automobile Research Institute bulan lalu.
Ia mencatatkan mata keseluruhan 77.27, dengan pecahan seperti berikut: 34.69 daripada 40 mata untuk orang dewasa; 16.54 daripada 20 untuk kanak-kanak; serta 15.02 daripada 20 mata untuk bantuan keselamatan; dan 11.02 daripada 20 untuk penunggang motosikal.
ASEAN NCAP juga menyatakan yang semua varian Dertinator mempunyai sekurang-kurangnya empat beg udara, ESC, ABS, pengingat tali keledar depan dan belakang, perlindungan pejalan kaki dan ISOFIX, serta lengkap secara standard atau diberi pilihan untuk ciri AEB, AEB dalam bandar, amaran perlanggaran depan, pengesan titik buta, lampu tinggi automatik dan amaran penukaran lorong.
SUV dengan saiz mirip CR-V ini mempunyai enjin 4B40 1.5 liter turbo empat-silinder yang menjana 163 PS/250 Nm. Di Indonesia, tiga varian ditawarkan, dengan harga antara 385 juta Rupiah hingga 465 juta Rupiah (RM95k-RM115k).
Pasaran Malaysia masih menunggu ketibaan model Xforce, tetapi Destinator merupakan kenderaan yang lebih besar dengan tujuh tempat duduk.
The post Mitsubishi Destinator terima 5-bintang ASEAN NCAP appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















