MINI Malaysia memperkenalkan model edisi khas terbaru, MINI Paul Smith Edition, khas untuk peminat pereka fesyen terkenal dari Britain, Paul Smith. Model ini ditawarkan dalam jumlah terhad serta hadir dengan dua pilihan warna eksklusif, sekaligus menjadikannya antara varian MINI yang paling unik di pasaran tempatan.
Dibangunkan berasaskan model elektrik sepenuhnya Cooper SE, MINI Paul Smith Edition ditawarkan pada harga RM222,222 atas jalan tanpa insurans, termasuk jaminan standard dua tahun tanpa had perbatuan. Bagi pelanggan yang memilih pakej MINI Service and Repair Inclusive (MSRI) merangkumi jaminan dan servis selama empat tahun, harga naik menjadi RM228,522. Secara perbandingan, pembeli perlu membayar kira-kira RM28,000 lebih tinggi berbanding Cooper SE biasa untuk memiliki edisi yang lebih eksklusif ini.
Dari sudut mekanikal, tiada perubahan dilakukan berbanding Cooper SE standard. Ia dilengkapi bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 54.2 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 402 kilometer mengikut piawaian WLTP.
Sistem pengecasan AC menyokong kuasa maksimum 11 kW, manakala pengecasan pantas DC pula mencapai sehingga 95 kW, membolehkan tahap bateri meningkat dari 10 hingga 80 peratus dalam tempoh kurang 30 minit. Kuasa disalurkan kepada motor elektrik di hadapan yang menghasilkan 218 PS dan 330 Nm tork, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 6.7 saat dengan kelajuan maksimum 170 km/j.
Dari segi penampilan, model edisi khas ini tampil dengan sentuhan warna Nottingham Green pada cermin sisi, gril hadapan serta penutup hab roda. Warna sama turut digunakan pada bahagian bumbung, diserlahkan lagi dengan jalur ikonik rekaan Paul Smith yang merentasi bahagian antara tiang B dan C.
Roda aloi bersaiz 18 inci jenis ‘Slide Spoke’ juga diberikan kemasan Nottingham Green, digabungkan dengan perincian Dark Steel serta penutup hab yang memaparkan logo Paul Smith. Identiti luaran turut diperkemaskan dengan lambang MINI berwarna Black Blue dan tulisan ‘Paul Smith’ dalam tona Anthracite Grey pada pintu belakang.
Masuk ke dalam, lampu ‘puddle’ pada cermin sisi memaparkan tulisan ‘hello’ dalam gaya tulisan tangan Paul Smith sebagai sambutan kepada penumpang. Tempat duduk pula menggunakan balutan Vescin dalam warna Nightshade Blue JCW Sports, lengkap dengan corak Shadow Stripe pada bahagian bahu dan perehat kepala serta label khas Paul Smith.
Corak Shadow Stripe turut diterapkan pada papan pemuka, diinspirasikan daripada jalur ikonik pereka tersebut. Di bahagian penumpang hadapan, terdapat jalur kulit hitam dengan jahitan biru sebagai elemen hiasan, manakala kemasan pada ambang pintu memaparkan mesej “Every day is a new beginning!” dalam tulisan tangan beliau.
Perincian lain yang mencuri perhatian termasuk motif arnab yang disulam pada alas kaki, selain jalur tekstil berwarna pada stereng yang menambahkan elemen ceria. Sistem infotainmen skrin sentuh bulat turut menerima sentuhan khas dengan tiga latar belakang eksklusif rekaan Paul Smith untuk mod Personal, lengkap dengan jalur ikonik yang disepadukan secara halus pada bahagian atas paparan.
GALERI: MINI Paul Smith Edition warna Statement Grey




















GALERI: MINI Paul Smith Edition warna Inspired White
The post MINI Paul Smith Edition 2026 dilancar di Malaysia – guna asas Cooper SE EV, unit terhad, harga RM222k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























