Dilancarkan bulan lalu dan ditawarkan dalam warna Inspired White atau Statement Grey, MINI Paul Smith Edition dijual dengan harga RM222,222 atas jalan, belum termasuk insurans (atau RM228,522 dengan jaminan empat-tahun dan pakej servis). Apa yang membezakannya daripada Cooper SE biasa yang menjadi model asalnya, dan mengapa ia dikenakan harga yang RM28k lebih mahal?
Tiada sebarang perubahan untuk sistem janaan kuasanya. Ia masih menggunakan bateri NMC 54.2-kWh (402 km WLTP), 95 kW DC (10-80% dalam masa kurang setengah jam) dan kadar pengecasan AC 11 kW, dengan motor elektrik yang menjana sebanyak 218 PS/330 Nm yang dipasang di hadapan. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.7 saat dan kelajuan maksimumnya adalah 170 km/j.
Antara kelainan yang ada ialah penggunaan warna Nottingham Green yang menghiasi cermin sisi, di sekeliling ‘gril’, di hab penutup, bumbung (dengan jalur istimewa Paul Smith di sisi) serta rim aloi ‘Slide Spoke’ 18-inci (yang juga mempunyai kemasan Dark Steel). Lambang MINI pula dalam warna hitam-biru dan tulisan ‘Paul Smith’ dalam warna Anthracite Grey di pintu belakang.
Jika pintu dibuka, lampu di bawah cermin sisi akan memancarkan ‘halo’ sambutan mesra dalam tulisan tangan Smith. Bahagian dalamannya menampilkan tempat duduk sport Nightshade Blue JCW dalam balutan material Vescin, dengan jahitan Shadow Stripe di bahagian bahu dan tempat letak kepala. Turut dihadirkan ialah label Paul Smith.
Kemasan balutan Shadow Stripe juga diguna untuk papan pemuka dengan cara yang diinspirasikan oleh reka bentuk jalur istimewa Smith. Bahagian papan pemuka sisi penumpang pula terdapat jalur kulit hitam hiasan dengan jahitan biru, manakala kemasan lantai pintu pula memaparkan mesej “Every day is a new beginning!” dalam tulisan tangan perekanya.
Sentuhan istimewa lain termasuk motif arnab lukisan tangan yang disulam di tikar lantai, manakala jalur fabrik stereng diberikan warna mengikut tema. Skrin sentuh bulat juga diubah suai untuk memasukkan tiga latar belakang eksklusif yang direka oleh Paul Smith untuk model Personal, dengan jalur istimewanya disepadukan secara halus ke tepi atas paparan.
The post MINI Paul Smith Edition 2026 di Malaysia — galeri penuh model terhad dari Cooper SE EV, dari RM222k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















































