MINI Malaysia hari ini melancarkan model edisi terhad MINI Countryman S All4 Fiery Stallion Edition, yang dihasilkan sempena Tahun Kuda untuk sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini. Ia dibuat hanya 18 unit, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM260,888 dengan waranti standard selama dua tahun.
Ini bermakna harga yang ditawarkan adalah sama seperti Countryman S All4 biasa. Pelanggan bertuah yang membeli model ini akan menerima beberapa perincian istimewa termasuk grafik sisi badan “galloping flames” yang nampak seperti api dan juga bentuk badan seekor kuda.
Grafik berbentuk ladam kuda juga boleh ditemui pada penutup pengisi minyak. Ia turut diberikan lencana Fiery Stallion Edition yang diletakkan disebelah lencana ‘S’ pada gril hadapan serta kemasan bendul pintu dengan logo ‘Fiery Stallion Edition’ dan juga nombor siri 1/18 di mana nombor ‘118’ melambangkan ‘kemakmuran’ dan ‘permulaan baharu’.
Ia juga hanya ditawarkan dalam satu pilihan warna badan iaitu Chilli Red II yang sememangnya melambangkan ‘ong’ untuk masyarakat Cina, serta bumbung dengan warna Vibrant Silver yang nampak seperti warna emas. Kunci model ini juga direka khas dengan menampilkan grafik fiery stallion.
Selain dari itu, perincian model edisi terhad ini masih lagi sama dengan Countryman S All4 biasa. Jadi ia masih digerakkan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo B48, yang menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik dan juga sistem pacuan semua roda All4.
Perincian luaran yang diberikan termasuk rim aloi 20-inci ‘Windmill Spoke’ kemasan dua-tona, lampu hadapan dan belakang LED dan juga pakej kemasan Favoured secara standard. Begitu juga pada bahagian dalam kabin model ini menerima Comfort Package Plus, yang memberikan cermin pandang belakang anti silau, kemasan bumbung anthracite serta sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.
Kawalan sistem infotainmen dan kawalan pendingin hawa boleh diakses melalui skrin sesentuh OLED bulat 9.4 inci di tengah. Tiada paparan instrumen digital atau analog untuk pemandu di mana informasi pemanduan lain dipaparkan pada paparan head-up yang dipancar pada cermin di hadapan pemandu.
Turut disediakan adalah MINI Intelligent Personal Assistant, yang memberikan kawalan suara untuk navigasi, telefon, hiburan dan pelbagai fungsi lagi. Ia juga masih mengekalkan tempat duduk sport hadapan John Cooper Works dengan balutan kulit tiruan Vescin Beading dalam kemasan Dark Petrol, lengkap dengan fungsi memori dan mengurut untuk pemandu.
Untuk keselamatan pula, Countryman S Fiery Stallion Edition ini datang dengan sistem bantuan pemanduan menerusi pakej Driving Assistant, yang memberikan fungsi seperti Lane Change Warning, Lane Departure Warning, Speed Limit Information, Manual Speed Limit Assist, Cruise Control dengan brek, Front Collision Warning dengan AEB, Evasion Assistant, Rear Cross-Rraffic Warning dengan AEB, Rear-End Collision Prevention dan Exit Warning.
Pakej Driving Assistant Plus juga diberikan, yang menampilkan fungsi Active Cruise Control dengan stop and go, Steering and Lane Control Assistant dan Speed Limit Assistant.
Ia juga dibekalkan standard dengan Parking Assistant Plus, yang memberikan Park Assist, Reversing Assistant, Active Park Distance Control, Drive-off Monitoring, Rear Panorama View, Parking View, Panorama View, Remote 3D View, BMW Drive Recorder dan perakam anti kecurian luar.
GALERI: Foto rasmi MINI Countryman S Fiery Stallion Edition 2026
The post MINI Countryman S Fiery Stallion Edition dilancarkan di Malaysia – hanya 18 unit sempena CNY, RM260,888 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.














































































