MINI Malaysia hari ini memperkenalkan dua model edisi khas baru, dengan tumpuan utama diberikan kepada 1965 Victory Edition. Model ini diwujudkan sebagai penghormatan kepada warisan sukan permotoran jenama MINI, khususnya kepada kejayaan legenda Mini Cooper S yang memenangi Rali Monte Carlo pada tahun 1965.
Konsep yang digunakan adalah untuk menghubungkan kejayaan masa lalu, dengan hala tuju masa kini MINI yang memberi fokus kepada teknologi elektrifikasi. Oleh itu, model ini diasaskan daripada John Cooper Works E, iaitu versi prestasi tinggi bagi hatchback elektrik J01.
Ia dilengkapi bateri berkapasiti 49.2 kWh (kapasiti bersih; 54.2 kWh kasar) serta motor elektrik hadapan yang menghasilkan kuasa 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan tork 350 Nm. Gabungan ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 5.9 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j.
Apabila bateri dicas penuh, ia mampu memberi jarak perjalanan sehingga 371 km berdasarkan piawaian WLTP. Untuk pengecasan, sistem AC menyokong kuasa sehingga 11 kW yang memerlukan sekitar lima jam 15 minit untuk pengecasan penuh, manakala pengecasan pantas DC sehingga 95 kW membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam tempoh kira-kira 30 minit.
Meskipun spesifikasi mekanikal dan elektrikal kekal sama seperti model asas, 1965 Victory Edition tampil dengan sentuhan reka bentuk yang unik bagi menampakkan bezanya. Antaranya ialah warna badan Chili Red yang menyerlah, dipadankan dengan jalur putih sporty yang memanjang dari bonet hingga ke bahagian belakang, serta bumbung dengan kemasan putih, lengkap bersama sunroof.
Elemen istimewa lain termasuk angka “52” pada sisi kenderaan, yang merujuk kepada nombor perlumbaan kereta yang memenangi Rali Monte Carlo 1965. Grafik ini hadir dalam warna putih dan disertakan pelekat “1965” pada bahagian c-pillar. Untuk rim, model ini menggunakan rim JCW Mastery Spoke berwarna hitam bersaiz 18 inci, menggantikan rim JCW Lap Spoke yang digunakan pada John Cooper Works E standard.
Bahagian dalam turut menampilkan elemen yang meraikan kemenangan bersejarah tersebut. Bahagian tepi pintu direka khas dengan perincian yang memperingati kejayaan itu, manakala kabin menggunakan kombinasi warna JCW anthracite dan merah. Rujukan kepada tahun 1965 juga dapat dilihat pada stereng dan kotak simpanan konsol tengah, selain nombor perlumbaan “#52” yang tertera pada kunci pintarnya.
Dari segi harga, MINI 1965 Victory Edition ditawarkan pada RM230,888 atas jalan tanpa insurans, termasuk jaminan selama dua tahun. Jika pelanggan memilih pakej MINI Service and Repair Inclusive (MSRI), tempoh jaminan dilanjutkan kepada empat tahun bersama pakej servis empat tahun, menjadikan jumlah keseluruhan RM237,188. Untuk perbandingan, harga ini adalah RM12,000 lebih tinggi berbanding model John Cooper Works E standard.
The post MINI 1965 Victory Edition dilancar di Malaysia – asas JCW 3 Door elektrik, peringatan kepada kejayaan rali appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















































