Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkata antara penyumbang utama statistik kemalangan jalan raya di negara ini ialah sindrom tertidur seketika sewaktu sedang memandu atau microsleep, dengan kira-kira 20% kes termasuk kematian dilaporkan setiap tahun.

Menurut Ketua Pengarah MIROS Prof Madya Dr Siti Zaharah Ishak, microsleep berlaku akibat keletihan dan kelesuan, selain dipengaruhi jam biologi tubuh, khususnya ketika musim perayaan yang membabitkan perjalanan jauh, tempoh pemanduan terlalu lama serta perubahan corak pemanduan, laporan Bernama.

Microsleep berlaku apabila kita memandu dalam keadaan tanpa sedar untuk seketika. Kadang-kadang, kita kenal pasti juga pemandu yang mengalami microsleep dalam keadaan mata terbuka tetapi dalam keadaan tidak sedar antara dua hingga 10 saat,” katanya pada program Apa Khabar Malaysia bertajuk ‘Microsleep – Urus Keletihan, Kurangkan Kemalangan’ di Bernama TV pagi tadi.

Beliau menambah, risiko kemalangan meningkat ketara pada musim perayaan susulan pertembungan dengan cuti sekolah di mana unjuran Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menunjukkan terdapat lebih dua juta kenderaan bergerak di lebuhraya sepanjang tempoh itu.

Microsleep antara penyumbang statistik kemalangan jalan raya, 20% kes dilaporkan setiap tahun – MIROS

“Antara simptom awal gejala microsleep ialah pemandu kerap mengubah posisi duduk serta momentum kelajuan kenderaan yang tidak konsisten, sekali gus menuntut mereka mendapatkan rehat yang cukup, merancang masa perjalanan menggunakan aplikasi dan berhenti sekiranya mengantuk.

“Secara purata, manusia memerlukan tujuh jam tidur bagi memastikan badan benar-benar segar, namun kualiti tidur lebih penting berbanding tempohnya. Sekiranya mengantuk ketika memandu, pemandu dinasihatkan berhenti serta berehat di Kawasan Rehat dan Rawat di sepanjang lebuhraya,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyarankan pemandu membuka tingkap seketika bagi mendapatkan udara segar, berinteraksi dengan kenderaan lain seperti menyalakan lampu tinggi atau membunyikan hon sekiranya mengalami keletihan, yang juga boleh membantu menyedarkan pemandu lain yang mungkin berdepan gejala sama.

Beliau turut berkata bahawa MIROS menjalankan penilaian teknologi kenderaan, termasuk mengenal pasti Sistem Bantuan Pemandu Termaju, pada kenderaan baharu yang dilengkapi amaran keluar lorong serta sistem brek kecemasan automatik bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengubah tingkah laku pemanduan.

The post Microsleep antara penyumbang statistik kemalangan jalan raya, 20% kes dilaporkan setiap tahun – MIROS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts