Mercedes-AMG C 63 paling kontroversi pernah dihasilkan iaitu model generasi W206 yang muncul pada 2022 dengan enjin empat-silinder 2.0 liter akhirnya sah akan ditamatkan pengeluarannya tidak lama lagi. Perkara ini diberitahu sendiri oleh CEO Mercedes-AMG Michael Schiebe dalam laporan Edmunds.

Laporan ini turut menyebut bahawa C 63 W206 akan ditamatkan terus riwayatnya tanpa ada pengganti dengan enjin V8 sebenar seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Namun pelanggan boleh memilih sedan C-Class W206 dengan lencana AMG paling berkuasa selepas ini menerusi model Mercedes-AMG C 53 yang akan didedahkan pada separa kedua tahun ini.

“Kami akan ambil enjin pembakaran dalaman dari CLE 53. Tiada enjin hibrid – ia enjin enam silinder sebaris yang tulen,” kata Schiebe.

Ini bermakna sedan Mercedes-AMG C 53 berkenaan akan menerima enjin dari C-Class cabriolet berprestasi Mercedes-AMG CLE 53, iaitu enjin turbo 3.0 liter enam silinder sebaris yang dikenali sebagai enjin M256M, iaitu unit M256 yang telah dipertingkat.

Mercedes-AMG C 63 dengan enjin 4-silinder PHEV akan dihentikan produksi, ganti C 53 6-silinder sebaris

Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 449 PS bermula 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork maksima 560 Nm bermula 2,200 hingga 5,000 rpm, dan turut menerima unit starter generator yang bersepadu (ISG) di dalamnya, memberikan kuasa tambahan sehingga 23 PS/205 Nm ketika memecut, bertindak sebagai salah satu komponen sistem hibird ringkas 48-volt CLE53 ini – tidak dapat dipastikan sama ada sistem ringkas ini dikira sebagai sistem hibird atau tidak dalam konteks kenyataan Schiebe yang menyatakan bahawa C 53 kelak diberikan “enjin enam-silinder tulen tanpa hibrid”.

Sebagai perbandingan, unit rangkaian kuasa C 63 W206 sebelum ini yang menggandingkan enjin M139L 2.0 liter turbo bersama sistem plug-in hybrid (PHEV) E Performance yang sangat rumit menghasilkan kuasa 680 hp/1,020 Nm. Manakala C 63 dari generasi W205 sebelumnya yang dijana oleh enjin M177 V8 4.0 liter dengan pengecas turbo berkembar pula mampu menghasilkan kuasa 510 PS/700 Nm.

Apa yang menarik, Schiebe menyatakan bahawa sebab utama penamatan produksi C 63 W206 tersebut bukanlah kerana ia tidak mendapat sambutan dari pelanggan, sebaliknya beliau menyebut bahawa enjin 2.0 liter empat-silinder berkenaan agak sukar untuk mematuhi undang-undang emisi Euro 7 yang lebih ketat pada masa akan datang.

“Di bawah undang-undang EU7, agak sukar untuk membawa [enjin empat-silinder] ke masa hadapan,” kata Schiebe. “Sebab itulah kami akan berhenti untuk menawarkan enjin M139 untuk segmen saiz sederhana dan gantikan dengan enjin enam-silinder.”

The post Mercedes-AMG C 63 dengan enjin 4-silinder PHEV akan dihentikan produksi, ganti C 53 6-silinder sebaris appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts