Majlis Bandaraya Shah Alam melakar sejarah sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menggunakan Proton eMas 7 sebagai kenderaan rasmi. Pagi tadi telah berlangsungnya majlis penyerahan lapan unit eMas7 yang diperoleh daripada Dynamic Group Berhad dengan kerjasama Proton.
“Inisiatif ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh agenda Bandar Hijau dan Rendah Karbon, seiring komitmen MBSA terhadap matlamat pembangunan mampan (SDG) termasuk memperkenalkan tenaga bersih dan mampu milik melalui penggunaan mobiliti berasaskan elektrik, selain menjadi bandar dan komuniti lestari dengan memperluas penggunaan teknologi hijau dalam perkhidmatan bandar serta mengurangkan pelepasan karbon dan pencemar udara.
“Penggunaan EV ini juga memberi penjimatan dari segi penggunaan petrol, kos penyelenggaraan dan operasi. Kenderaan ini akan digunakan untuk tugasan harian seperti penguatkuasaan, rondaan, penyeliaan projek, lawatan tapak dan urusan jabatan,” kata MBSA menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam masa yang sama, MBSA bersama Dynamic Group Berhad dan Proton turut merancang pembinaan stesen pengecas EV di lokasi strategik sekitar Shah Alam bagi menyokong pembangunan infrastruktur mobiliti rendah karbon yang lebih mampan.
The post MBSA jadi PBT pertama pilih Proton eMas 7 sebagai kereta rasmi-bakal bina stesen pengecas di Shah Alam appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















