Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meletakkan sasaran memasang 1,000 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) secara berfasa di lokasi strategik dan ruang letak kereta awam di sekitar Petaling Jaya, dengan perjanjian persefahaman dimeterai antara MBPJ bersama dua rakan strategik, EV Connection (EVC) dan Carput Zap Network pada 26 Jun lalu.
Dalam laporan Sinar Harian, MBPJ menyatakan fasa pertama pelaksanaan akan menyaksikan pemasangan 500 unit pengecas EV yang akan dikendalikan oleh EVC dan Carput Zap Network. Selain itu, kedua-dua syarikat tersebut turut diberi mandat untuk membangunkan sekurang-kurangnya 100 lokasi pengecasan menjelang tahun 2030 dengan antara lokasi berpotensi yang dikenal pasti adalah seperti bangunan kerajaan, kompleks sukan, tempat letak kereta awam serta kawasan-kawasan lain di sekitar Petaling Jaya.
“Dua rakan strategik ini komited menyokong misi MBPJ untuk menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya yang lestari dan berdaya tahan. Teknologi pengecas yang akan digunakan adalah moden, selamat, mesra pengguna dan cekap – selaras dengan pertambahan jumlah pemilik EV di Lembah Klang,” kata datuk bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon.
Menurut beliau, projek ini adalah sebahagian daripada usaha MBPJ menyokong aspirasi negara dalam memperluas penggunaan mobiliti rendah karbon serta mempercepatkan transformasi hijau. “Kami berharap inisiatif ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Petaling Jaya sebagai peneraju mobiliti hijau, sama ada di peringkat tempatan mahupun kebangsaan,” tambah Zahri.
Terdahulu, pada April lalu, Petaling Jaya menyaksikan pelancaran pengecas EV awam di Plaza 33 oleh Schneider Electric Malaysia. Ia menawarkan satu pengecas pantas DC 180 kW dan dua pengecas AC 22 kW, dengan kadar caj RM1.60 per kWh bagi DC dan RM1.00 per kWh untuk AC.
MBPJ dijangka terus memperluas rangkaian kemudahan ini sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang ke arah bandar pintar dan rendah karbon.
The post MBPJ sasar pasang 1,000 pengecas EV di tempat letak kereta awam, kawasan strategik menjelang 2030 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.