Mazda tidak pernah membuat mana-mana kenyataan bahawa ia adalah jenama mewah atau premium. Namun bagi sesiapa yang pernah memandu model-model terkini Mazda, pasti akan nampak jelas halatuju jenama dari Hiroshima berkenaan bila mana menyentuh bahagian-bahagian dalamannya yang diberikan material sentuhan lembut, memang terasa sangat premium dan mewah.
Dan pada 2020, Mazda bersedia untuk masuk ke pasaran yang benar-benar mewah dengan menampilkan enjin baharu untuk dipadankan pada platform baharu pacuan roda belakang, bagi menghasilkan model-model yang boleh berhadapan terus dengan kenderaan-kenderaan keluaran Eropah seperti BMW dan Mercedes-Benz.
Akhirnya model yang diasaskan dari Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture, atau lebih spesifik platform Large Product Mazda berkenaan muncul pada 2022 bermula dengan SUV CX-60, kemudian diikuti versi lebih besar CX-80 yang menampilkan tiga baris tempat duduk.
Kedua-dua model ini kemudiannya tiba pada pasaran Malaysia pada awal September lalu. Dan galeri yang kami bawakan untuk anda kali ini adalah Mazda CX-80 dalam varian tunggal di sini iaitu 2.5G PHEV AWD High Plus. Ketika dilancarkan, model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM331,610, namun sekitar sebulan selepas itu, Bermaz menurunkan harga jualannya kepada RM296,610.40.
Unit yang kami bawakan untuk anda kali ini menampilkan warna badan Melting Copper Metallic, dan di Malaysia CX-80 ini turut disediakan dalam warna Rhodium White, Artisan Red, Platinum Quartz, dan Jet Black.
Ketibaan Mazda CX-80 ini menggantikan dua SUV tiga tempat duduk yang ditawarkan di Malaysia sebelum ini iaitu Mazda CX-8 dan Mazda CX-9. Ia dihasilkan dengan panjang 4,995 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,705 mm dan jarak rodanya pula adalah 3,120 mm. Jadi CX-80 ini adalah sedikit lebih pendek dari CX-9 (5,075 mm) tetapi 95 mm lebih panjang berbanding CX-8 (4,900 mm), namun menampilkan jarak roda hampir 200 mm lebih jauh dari CX-9 dan CX-8 (2,930 mm).
Untuk unit rangkaian kuasa, satu-satunya varian CX-80 pasaran Malaysia ini diberikan sistem plug-in hybrid (PHEV) yanh menampilkan enjin petrol 2,488 cc empat-silinder NA berkuasa 191 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 261 Nm pada takat 4,000. Ia digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 175 PS/270 Nm yang terletak di tengah antara enjin dan juga kotak gear automatik lapan kelajuan.
Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini menghasilkan kuasa 328 PS dan tork maksima 500 Nm. Kuasa bukan hanya dialirkan ke gandar belakang, malah ia turut menerima sistem pacuan semua roda bagi mengagihkan tork ke gandar hadapan.
Motor elektrik yang dibekalkan menerima kuasa dari bateri lithium-ion berkapasiti 17.8 kWj. Dengan satu cas penuh, SUV ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 65 km (berdasarkan kitaran ujian NEDC). Bateri tersebit juga boleh dicas semula seperti kereta elektrik sebenar (EV), menerusi pengecas AC 7.2 kW yang membolehkan ia dipenuhkan dari 0-100% dalam masa dua jam 30 minit.
Manakala bagi menampung badan SUV yang besar ini agar ia memberikan keselesaan dalam masa yang sama memberikan pengendalian yang baik, ia diberikan tetapan suspensi jenis double wishbone di hadapan dan juga multilink di belakang.
Masuk ke kabin, CX-80 dilihat menampilkan rekaan papan pemuka yang sama seperti CX-60, dan ia dilengkapi paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci untuk pemandu, serta satu lagi skrin yang diletak ‘berdiri sendiri’ di tengah untuk fungsi sistem infotainmen, yang dibekalkan bersama sokongan Apple CarPlay tanpa wayar.
Android Auto turut boleh digunakan bersama sistem tersebut, tetapi ia masih perlu dihubungkan menerusi wayar. Masih lagi seperti model-model Mazda sebelum ini, skrin infotainmen yang dibekalkan tidak diberikan fungsi sesentuh, di mana kawalannya perlu dibuat menerusi panel kawalan Commander Control yang terletak di belakang tombol gear. Sebanyak 12-pembesar suara dibekalkan pada CX-80 menerusi sistem audio premium Bose.
CX-80 ini diberikan konfigurasi tempat duduk 2-2-2, di mana tempat duduk baris kedua merupakan tempat duduk kapten, dipisahkan antara kiri dan kanan menerusi perehat tangan bersaiz besar yang turut menempatkan ruang storan yang dalam serta dua pemegang cawan bersaiz penuh.
Tempat duduk kapten tersebut boleh digelangsarkan ke hadapan dan ke belakang bukan hanya untuk akses ke tempat duduk baris ketiga, malah untuk larasan ruang kaki penumpang. Ia juga diberikan larasan perehat belakang bantuan elektrik, serta fungsi pemanas dan liang hembusan pendingin hawa.
Manakala untuk tempat duduk baris ketiga, ia boleh dilipat dengan nisbah 50:50 bagi memberikan ruang kargo lebih besar sekiranya tidak digunakan. Sebanyak enam-port USB-C terdapat pada kabin CX-80 ini yang diletakkan pada setiap baris tempat duduk. Ia juga diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar untuk penumpang hadapan, dan secara keseluruhan, bahagian dalaman kabin CX-80 ini menerima upholsteri kulit Nappa dalam kemasan Tan.
Untuk keselamatan pula, diberikan tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), cagak Isofix dan Bantuan Mula Mendaki (HLA).
Selain itu ia turut menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Mazda i-Activsense yang merangkumi Lampu Utama LED Adaptif (ALH), Pemantauan Titik Buta (BSM), Kepekaan Trafik Lintasan Hadapan dan Belakang, Sistem Amaran Ketibaan Lorong, Sistem Bantuan kekal Lorong (LAS) dengan Bantuan kekal Jalan, Kepekaan Perhatian Pemandu dengan fungsi Pemantauan Pemandu, Sokongan Brek Pintas (SBS), Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan Stop & Go dan Sokongan Trafik dan Kelajuan Santai (CTS).
Setiap pembelian Mazda CX-80 2.5L PHEV AWD High Plus ini dilindungi waranti selama lima-tahun atau 100,000 km, serta pakej servis berkala percuma selama lima-tahun atau 100,000 km.
The post Mazda CX-80 2.5G PHEV AWD di Malaysia – RM297k, 328 PS/500 Nm, 6-tempat duduk, jarak gerak EV 65 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















































































































































































