Bermaz Motor secara senyap-senyap telah mengemaskini Mazda CX-5 dalam varian 2.0G 2WD High dengan menambah pakej aksesori. Kami diberitahu oleh penasihat jualan bahawa pakej aksesori berkenaan kini menjadi perincian standard bagi CX-5 2.0G 2WD 2026. Bukan itu sahaja, harga barisan model CX-5 versi facelift pasaran Malaysia yang diperkenalkan pada Januari 2024 juga kini telah dirombak semula.
Kita mulakan dengan varian 2.0G 2WD High terlebih dahulu di mana ia sekarang datang standard dengan pakej aksesori bernilai RM6,160. Ia dinilai lebih tinggi dari pakej aksesori sebelum ini yang diumumkan pada harga RM2,410 kerana telah ditambah dengan beberapa kelengkapan lain.
Antara kelengkapan yang masih sama seperti pakej aksesori terdahulu adalah filem penapis haba Activ-e dan juga plat kemasan panel bendul pintu dengan nyalaan LED. Dengan tanbahan harga, pakej ini turut datang dengan kamera perakam digital (dashcam) pada bahagian hadapan dan belakang serta unit skrin infotainmen lebih besar bersaiz 12.3-inci bagi menggantikan skrin 8-inci sebelum ini.
Kami dapati skrin berkenaan bukan hanya lebih besar, malah turut dikemaskini dengan menggunakan asas Android tetapi hadir dengan antaramuka sistem Mazda Connect. Ia boleh dioperasikan dengan cara yang sama seperti sistem Mazda Connect asal, malah turut boleh disambungkan ke telefon pintar menerusi sokongan Android Auto (menggunakan wayar) dan Apple CarPlay (wayar dan tanpa wayar).
Pada bahagian luaran, model kemaskini 2026 bagi 2.0G 2WD High boleh dikenali menerusi perapi pelindung badan yang telah diberikan kemasan warna badan, berbanding varian lain yang masih berwarna plastik hitam tanpa cat.
Dengan tingkat taraf yang diberikan ini, ia tidak memberikan sebarang tambahan kos kepada pembeli, malah harganya kini RM10,000 lebih murah iaitu RM151,469.20 berbanding harga ketika dilancarkan pada Januari 2024, ketika itu harganya adalah RM161,469.20.
Harga bagi varian CX-5 yang lain juga kini RM10,000 lebih murah berbanding ketika dilancarkan pada Januari 2024, dan ia sebenarnya sebelum ini pernah turun pada 1 September 2025 dan 1 Oktober 2025. Harga-harga baharu untuk Mazda CX-5 2026 yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2026 adalah seperti berikut:
- 2.0G 2WD Mid: RM134,469.20 (RM144,469.20 sebelum ini)
- 2.5G 2WD High: RM164,960.40 (RM174,960.40 sebelum ini)
- 2.2D 2WD High: RM170,322.80 (RM180,322.80 sebelum ini)
- 2.5G AWD High: RM178,760.40 (RM188,760.40 sebelum ini)
Harga-harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran serta warna badan metalik. Pelanggan perlu menambah RM3,300 sekiranya mahukan warna premium iaitu Soul Red Crystal dan Machine Gray. Semua varian disertakan dengan upholsteri kulit, kecuali varian 2.0G 2WD Mid yang datang dengan tempat duduk fabrik, tetapi pelanggan boleh memilih balutan kulit dengan tambahan bayaran RM2,900.
Varian-varian lain masih diberikan aksesori standard termasuk filem penapis haba, plat kemasan panel bendul pintu dengan nyalaan LED dan kamera perakam digital, kecuali CX-5 2.0G 2WD High 2026 yang diberikan lebih banyak aksesori seperti yang dinyatakan tadi.
Bermaz masih memberikan waranti serta pakej servis penyelenggaraan percuma selama lima-tahun untuk pembelian semua varian Mazda CX-5 2026.
The post Mazda CX-5 2026 dikemaskini – varian 2.0G High dapat skrin 12.3-inci dan lain-lain, harga RM10k lebih murah appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

































