Selepas diperkenalkan pada peringkat global pada Julai lalu, model generasi ketiga untuk Mazda CX-5 ditunjukkan buat kali pertama di Jepun menerusi acara Japan Mobolity Show 2025 yang mula berlangsung di Tokyo minggu ini.
Mazda CX-5 baharu ini dihasilkan lebih besar dari model generasi sedia ada dengan menampilkan dimensi panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,695 mm. Ini bermakna model generasi baharu ini adalah 115 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan juga 15 mm lebih tinggi dari model sebelumnya.
Jarak roda model generasi baharu ini juga lebih jauh iaitu 2,775 mm (+75 mm), membolehkan ruang kabin direka lebih luas, dalam masa yang sama turut memberikan pengendalian yang lebih stabil.
Dengan badan yang lebih tinggi, Mazda bukan hanya dapat menyediakan ruang kepala yang lebih selesa kepada penumpang, malah pintu belakang SUV ini dapat direka dengan bukaan lebih luas bagi membolehkan penumpang masuk dan keluar dengan lebih mudah – penumpang yang tinggi tidak perlu terlalu menunduk, manakala penumpang kanak-kanak dan juga warga emas juga lebih mudah masuk kerana bendul pintu yang direka lebih rendah.
Saiz badan yang lebih besar dan panjang ini juga memberikan ruang but 61 liter lebih luas berbanding model generasi sebelumnya. Malah ia bukan soal ruang semata-mata, kerana Mazda menghasilkan pintu tailgate belakang juga dengan bukaan lebih luas dan bahagian bawah lebih rendah bagi memastikan barang yang besar boleh dimasukkan dengan mudah ke ruang berkenaan.
Untuk pengayaan luaran, Mazda menyatakan rekaan Kodo pada SUV serba baharu ini menerapkan konsep “Wearable Gear”. Lampu hadapan masih direka nipis, namum kali ini ia kelihatan seperti sebahagian dari gril hadapan berwarna hitam yang masih lagi besar. Gril bawah bampar CX-5 baharu ini juga nampak lebih besar dari model sebelum ini.
Secara asasnya identiti bayangan sisi badan CX-5 ini masih dikekalkan, namun untuk menghasilkan pintu belakang dan dan pintu tailgate yang lebih praktikal tadi menyebabkan garis bumbung belakang nampak lebih tinggi dan kurang landai. Ruang roda model baharu ini juga nampak lebih ‘petak’ berbanding model lama yang lebih bulat.
Di belakang pengayaan lampu diubah terus dengan rekaan kluster berbentuk-L yang lebih nipis dan panjang seperti dari barisan SUV lebih besar Mazda CX-60 dan CX-80. Tiada logo ‘M’, tetapi menampilkan skrip ‘MAZDA’ baharu yang lebih ringkas dilekat di tengah pintu tailgate. Sepasang tip ekzos bulat masih kelihatan pada kedua-dua sisi bahagian belakang CX-5 baharu ini.
Untuk bahagian dalaman, tiada lagi suis-suis fizikal untuk kawalan suhu dan penghembus penghawa dingin serta kawalan audio, di mana semuanya telah dipindahkan ke skrin sesentuh gergasi dengan pilihan saiz 12.9-inci dan 15.6-inci yang diletakkan di tengah papan pemuka.
Konsol gear juga nampak lebih ringkas dengan hanya menampilkan suis untuk brek parkir elektronik serta fungsi auto hold, dan tiada lagi suis putar serta suis tekan Mazda Commander, serta tiada lagi suis pemilih mod pemanduan. Ia juga mempunyai pad pengecas telefon pintar tanpa wayar yang terletak di bawah perehat tangan.
Bagi sistem infotainmen, selain skrin yang dibekalkan kini semakin besar, CX-5 2026 ini juga merupakan model pertama Mazda yang dibekalkan dengan servis Google bina dalam, memberikan fungsi seperti Google Maps, kawalan menggunakan suara AI Gemini, Google Apps Store dan banyak lagi. Sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara juga dibekalkan pada varian terpilih.
Untuk pemandu, maklumat pemanduan diberikan menerusi paparan instrumen digital bersaiz 10.25-inci. Roda stereng juga menerima rekaan baharu, di mana ia turut menampilkan skrip Mazda pada modul beg udara dan tidak menggunakan logo ‘M’.
Pelbagai tema warna dan upholsteri ditawarkan untuk kabin CX-5 ini, termasuk kulit dalam kemasan hitam atau tan, kulit sintetik kemasan hitam dan putih serta material sued. Bergantung pada varian, pembeli turut ditawarkan dengan bumbung kaca panaromik.
Bagi unit rangkaian kuasa, nampaknya masih belum ada teknologi baharu ditampilkan oleh Mazda untuk CX-5 generasi terkini ini. Buat masa sekarang ia hanya ditawarkan dengan hanya satu pilihan penggerak iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt.
Enjin berkenaan ditala dengan kuasa 141 PS dan tork maksima 238 Nm, dialirkan ke kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 10.5 saat.
Sebelum ini Mazda pernah mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan enjin generasi baharu dikenali sebagai SkyActiv-Z yang lebih efisien, didakwa mampu beroperasi dengan campuran bahan api dan udara pada tahap 1 lambda hampir pada setiap tahap rpm, namun ia hanya akan muncul pada akhir 2027.
Untuk kita di Malaysia, CX-5 generasi baharu ini mungkin akan sampai ke sini selewat-lewatnya pada separa pertama 2028. Ini kerana dalam laporan penyelidikan pasaran oleh Maybank Investment Bank, pengedar Mazda pada pasaran tempatan iaitu Bermaz Auto kini sedang merancang untuk memulakan pemasangan tempatan (CKD) untuk CX-5 ini dalam tahun kewangan 2027 syarikat itu yang berakhir pada 30 April 2028.
The post Mazda CX-5 2026 buat kemunculan sulung awam di Jepun – lebih besar, 2.5L NA hibrid 24V, 141 PS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.







































