Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyifatkan tawaran kerajaan bagi memberikan geran padanan sehingga RM4,000 bagi melupuskan kereta lama berusia lebih 20 tahun bagi bertukar kepada kereta baharu keluaran jenama nasional yang diumum pada Belanjawan 2026 minggu lalu merupakan langkah yang progresif dalam menambahbaik aspek keselamatan kenderaan, mempromosikan kelestarian alam sekitar dan juga menyokong jenama-jenama kenderaan nasional.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, persatuan itu berkata bahawa ia melihat langkah tersebut sebagai langkah strategik ke arah membangunkan dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV) yang komprehensif, seterusnya membantu secara sistematik melupuskan kenderaan lama dan tidak cekap dari jalan raya, mengurangkan risiko keselamatan dan mengurangkan kesan alam sekitar. MAA turut menyatakan bahawa ia bersedia untuk melibatkan diri dengan kerajaan untuk membangunkan mekanisme berkesan untuk mencapai objektif ini.
Menerusi skim geran padanan ini, sekiranya pembeli bersetuju untuk melupuskan kereta lama bagi bertukar kepada kereta baharu dari jenama tempatan seperti Proton dan Perodua, kerajaan akan memberikan tambahan insentif dengan nilai rebat yang sama diberikan oleh pengeluar berkenaan, tetapi dihadkan hanya kepada RM4,000.
Contohnya sekiranya Proton/Perodua memberikan rebat sebanyak RM2,000 untuk pembeli lupuskan kereta lama dan membeli kereta baharu, pembeli akan menerima insentif tambahan sebanyak RM2,000 lagi, bagi memberikan diskaun pembelian keseluruhan sebanyak RM4,000.
Namun sekiranya pengeluar memberikan rebat lebih dari RM4,000, contohnya RM5,000, pembeli akan menerima insentif tambahan sehingga RM4,000, bagi memberikan diskaun pembelian keseluruhan sebanyak RM9,000 untuk melupuskan kereta lama berusia 20 tahun ke atas dan membeli kereta baharu jenama tempatan.
Berdasarkan penilaian dari MAA sendiri, inisiatif ini boleh mewakili peningkatan sehingga 5% daripada jumlah volum industri (TIV). Sebelum ini program pelupusan sukarela serupa pernah dilaksanakan pada 2009 melibatkan Proton dan Perodua menyaksikan kira-kira 31,000 kenderaan dibatalkan di bawah skim insentif yang lebih kurang sama.
Untuk meningkatkan lagi impak inisiatif itu, MAA juga telah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk turut meluaskan program ini kepada model-model pemasangan tempatan (CKD) jenama automotif lain. Persatuan itu menyatakan bahawa perluasan tersebut akan meluaskan penyertaan merentasi ekosistem pemasangan tempatan, mengukuhkan pelaburan dalam operasi CKD Malaysia dan menjana manfaat limpahan ekonomi yang lebih besar di seluruh rantaian bekalan.
Dalam kenyataan yang sama, MAA turut memuji pengumuman kerajaan mengenai pengecualian duti eksais dan cukai jalan bagi pemandu teksi dan pengusaha sewa kereta persendirian yang membeli kenderaan Proton dan Perodua, dengan berkata ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk menyokong ekosistem automotif tempatan sambil meringankan beban kewangan pengusaha kecil dalam sektor pengangkutan dan perkhidmatan mobiliti.
The post MAA sifatkan tawaran geran padanan RM4k dari k’jaan untuk lupus kereta lama langkah baik ke arah ELV appeared first on Paul Tan’s Automotive News.