Selepas mencatat satu lagi tahun rekod bagi jualan kenderaan baru hasil pertumbuhan konsisten sejak tiga tahun lalu, ramai menjangkakan pasaran automotif Malaysia akan terus melonjak pada 2026, apatah lagi dengan kemasukan pelbagai jenama baru serta pengukuhan nilai ringgit. Namun begitu, jangkaan tersebut mungkin terlalu optimistik.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan jualan kenderaan baru akan menurun sebanyak 3.8 peratus pada tahun ini. Anggaran jumlah industri (TIV) sebanyak 790,000 unit, merangkumi 730,000 kereta penumpang dan 60,000 kenderaan komersial, adalah lebih rendah berbanding 820,752 unit yang direkodkan pada tahun lalu. Jika ramalan ini menjadi kenyataan, 2026 akan menjadi tahun pertama sejak 2023 di mana TIV jatuh di bawah paras 800,000 unit.

Melihat kepada data terdahulu, penurunan ini sebenarnya sukar dielak. Selepas melonjak daripada 508,883 unit pada 2021 kepada 721,177 unit pada 2022, pertumbuhan jualan kenderaan baru mula menunjukkan tanda-tanda mendatar.

MAA jangka jumlah jualan kenderaan baru turun 3.8% pada tahun 2026 disebabkan peningkatan kos hidup

Pada 2025, jumlah jualan hanya naik sekitar 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu perbezaan hanya kira-kira 4,000 unit. Peningkatan kecil ini dianggap hampir tidak signifikan, walaupun pasaran mencatat bulan Disember dengan rekod jualan tertinggi, didorong oleh pembelian EV bebas cukai sebelum insentif cukai import CBU tamat pada 31 Disember.

MAA menjelaskan prestasi ini dipengaruhi oleh beberapa faktor, antaranya kos sara hidup yang meningkat lebih pantas berbanding pengukuhan ringgit. Keadaan ini menjejaskan pendapatan boleh guna pengguna dan seterusnya melemahkan kuasa beli. Kementerian Kewangan turut menjangkakan pertumbuhan KDNK tahunan Malaysia akan perlahan kepada sekitar 4.0 hingga 4.5 peratus, berbanding 4.9 peratus pada 2025.

Di peringkat global pula, keadaan ekonomi dijangka menjadi lebih mencabar susulan ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika Syarikat serta ketegangan geopolitik yang berterusan. Perubahan pendirian perdagangan AS dan tindakan tarif terhadap beberapa negara Eropah dijangka memberi kesan kepada kelebihan perdagangan Malaysia, sekali gus menambah tekanan kepada ekonomi tempatan.

MAA jangka jumlah jualan kenderaan baru turun 3.8% pada tahun 2026 disebabkan peningkatan kos hidup

Dalam konteks industri automotif, ketiadaan insentif cukai bagi EV import sepenuhnya dijangka menyebabkan harga model CBU meningkat. Ini berkemungkinan memperlahankan lagi permintaan EV yang sememangnya masih rendah, dipengaruhi oleh tahap kematangan pasaran yang awal serta harga petrol RON 95 bersubsidi menerusi program Budi95.

Walaubagaimanapun, MAA mengesahkan tiada risiko kenaikan harga secara menyeluruh bagi kenderaan pemasangan tempatan atau CKD susulan semakan duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV), kerana isu tersebut telah diselesaikan sepenuhnya.

Namun begitu, harga kenderaan masih berpotensi meningkat disebabkan faktor lain seperti kos pembuatan, komponen dan operasi yang semakin tinggi, sekali gus mengehadkan keupayaan pengeluar dan pengedar untuk menawarkan diskaun.

MAA jangka jumlah jualan kenderaan baru turun 3.8% pada tahun 2026 disebabkan peningkatan kos hidup

Di sebalik cabaran ini, prospek pasaran automotif tidak sepenuhnya suram. MAA masih menjangkakan ekonomi yang relatif stabil akan terus menyokong jualan kenderaan. Pasaran buruh yang kukuh, dengan kadar pengangguran rendah sekitar 2.9 peratus, dijangka mengekalkan kestabilan pendapatan dan mendorong pembelian kenderaan.

Permintaan yang tinggi terhadap model mampu milik dan jimat bahan api, khususnya daripada pengeluar nasional seperti Proton dan Perodua, akan terus menjadi pemacu utama pasaran. Selain itu, kemasukan pelbagai jenama dan model baru sepanjang tahun ini, disertai promosi berterusan serta perkhidmatan nilai tambah, dijangka menyemarakkan minat pengguna.

Peningkatan jumlah model EV yang dipasang secara tempatan turut dijangka menyokong pembangunan ekosistem EV negara, seterusnya menarik lebih banyak pelaburan, pemindahan teknologi dan pertumbuhan daripada jenama asing. Namun demikian, MAA kekal berhati-hati terhadap tahap komitmen pengeluar luar dalam memberi penekanan jangka panjang terhadap pembangunan keupayaan pengeluaran EV di Malaysia.

The post MAA jangka jumlah jualan kenderaan baru turun 3.8% pada tahun 2026 disebabkan peningkatan kos hidup appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts