Data terbaru Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada tahun 2025, dengan jumlah jualan mencecah 30,848 unit. Angka ini merupakan peningkatan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 109 peratus berbanding 14,766 unit yang direkodkan pada tahun 2024.
Trend peningkatan ini turut dilihat dalam segmen kenderaan hibrid. Sepanjang 2025, sebanyak 38,515 unit kenderaan hibrid berjaya dijual, meningkat 25 peratus berbanding 30,796 unit pada tahun sebelumnya. Jika digabungkan, jumlah keseluruhan kenderaan elektrifikasi yang dijual di Malaysia pada 2025 adalah sebanyak 69,363 unit, iaitu peningkatan 52 peratus berbanding 45,562 unit pada 2024.
Pertumbuhan pesat ini banyak didorong oleh insentif cukai yang diperkenalkan kerajaan semasa Belanjawan 2022. Insentif tersebut mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2022 dan tempohnya telah dilanjutkan beberapa kali, walaupun sebahagiannya kini telah tamat. Bagi EV import sepenuhnya atau CBU, pengecualian cukai berakhir pada 31 Disember 2025, manakala EV pemasangan tempatan atau CKD masih menikmati beberapa insentif sehingga 31 Disember 2027.
Sebelum insentif ini diperkenalkan, jualan EV berada pada tahap yang sangat rendah, iaitu hanya 278 unit pada 2021. Pada tahun pertama pelaksanaannya pada 2022, jualan melonjak kepada 2,631 unit, meningkat sebanyak 846 peratus. Pertumbuhan ini diteruskan pada 2023 dengan 10,159 unit dijual, bersamaan peningkatan 286 peratus.
Meskipun kadar pertumbuhan menurun kepada 45 peratus pada 2024, jumlah jualan EV masih meningkat kepada 14,766 unit. Lonjakan besar sebanyak 109 peratus pada 2025 dipercayai didorong oleh pengguna yang ingin mengambil kesempatan terhadap insentif EV CBU sebelum ia berakhir.
Bagi kenderaan hibrid pula, pertumbuhan dilihat lebih konsisten dari tahun ke tahun. Jualan meningkat daripada 7,875 unit pada 2021 kepada 19,988 unit pada 2022, sebelum berkembang kepada 28,055 unit pada 2023, 30,796 unit pada 2024 dan seterusnya 38,515 unit pada 2025. Pengenalan lebih banyak model hibrid oleh jenama arus perdana dilihat sebagai antara faktor utama yang menyokong peningkatan ini.
Jurang jualan antara kenderaan hibrid dan EV kini semakin mengecil berbanding tahun-tahun terdahulu, namun landskap pasaran mungkin berubah pada 2026. Walaupun insentif cukai berkaitan EV telah tamat, harga EV CBU didapati kekal hampir sama walaupun sebelum ini diunjur meningkat sehingga 100 peratus.
Dalam masa yang sama, pelaksanaan program Budi Madani RON 95 (Budi95), yang mengekalkan harga petrol RON 95 pada RM1.99 seliter, berpotensi mengurangkan tarikan terhadap EV dan seterusnya memberi kesan kepada permintaan pasaran.
The post MAA: 30,848 EV baru dijual pada tahun 2025 di M’sia, YoY naik 109% – hibrid juga naik 25%, 38,515 unit appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















