Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan bahawa Projek LRT3 bagi laluan Shah Alam dijangka akan memulakan operasi selewat-lewatnya pada bulan Jun 2026. Menurutnya lagi jangkaan berkenaan dibuat oleh pemilik aset iaitu Prasarana Malaysia Bhd, namun beliau sendiri tidak menolak kemungkinan laluan tersebut sedia beroperasi lebih awal dijangka pada April.
Projek LRT3 ini pada awalnya dijangka boleh siap digunakan pada Oktober tahun lalu, kemudian ditangguhkan pada penghujung Disember. Namun menjelang akhir tahun, tarikh siap projek ini diumumkan ditangguh sekali lagi sekurang-kurangnya pada suku kedua tahun ini.
Menurut Loke dalam wawancara bersama sebuah stesen radio pagi tadi dan kemudian dipetik oleh DagangNews, kelewatan daripada sasaran asal Oktober tahun lalu adalah bagi memastikan keselamatan penumpang melalui ujian yang teliti, termasuk tahap paling kritikal Fault-Free Run (FFR), di mana setiap tren perlu bergerak sekurang-kurangnya 4,000km tanpa gangguan teknikal.
“Semasa ujian pada November dan Disember, kami menghadapi isu perisian dan sistem isyarat. Setiap kali berlaku gangguan, ujian perlu dimulakan semula dari sifar,” katanya dan menambah kumpulan pertama daripada lebih 20 tren laluan ini telah melepasi FFR, manakala kumpulan seterusnya masih menjalani ujian. Setelah ujian akhir selesai, kementerian akan memulakan operasi secara rasmi.
Projek LRT Shah Alam sepanjang 37.8km menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang, dan dijangka memberi perkhidmatan kepada dua juta penduduk di koridor barat Lembah Klang. Ia dimulakan pada 2016 namun berdepan beberapa kelewatan akibat penstrukturan semula pakej kerja dan pandemik COVID-19.
Tarikh siap sebelum ini telah ditunda daripada 2020 ke Mac 2025, manakala sasaran Oktober 2025 terlepas akibat cabaran teknikal.
The post LRT3 Shah Alam dijangka mula operasi Jun ini – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















