Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mengesahkan bahawa terdapat 33 isu teknikal membabitkan ralat perisian dan gangguan sistem dikenalpasti sepanjang tempoh 2.5 bulan ujian ‘fault-free run’ (FFR) bagi projek transit aliran ringan (LRT) Laluan Shah Alam, yang menyebabkan penangguhan peralihan ke fasa operasi percubaan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Prasarana berkata, isu berkenaan membabitkan aspek keselamatan, operasi dan prestasi sistem, yang memerlukan tindakan pembetulan segera sebelum laluan itu boleh dipertimbangkan untuk dibuka kepada orang ramai, laporan Harian Metro.

Katanya, projek kini berada dalam Fasa Pengujian dan Pentauliahan (T&C), yang merangkumi ujian percubaan, FFR dan operasi percubaan sebelum semua dokumen teknikal boleh dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi permohonan Lesen Pengendali Rel.

“FFR yang bermula pada 26 Ogos 2025 merupakan ujian integrasi menyeluruh melibatkan sistem penting seperti isyarat, komunikasi, set tren LRT (rolling stock) dan sistem kawalan, bagi memastikan kesemua komponen berfungsi secara stabil dan selamat.

“Sepanjang ujian ini, antara masalah utama yang dikenal pasti termasuk kegagalan tren berhenti tepat di platform sehingga menjejaskan fungsi pintu tren, tren tidak dapat meneruskan perjalanan secara automatik ke stesen berikutnya, serta pergerakan tren yang tidak mengikut kelajuan diprogramkan termasuk terdapat pergerakan minimum ketika tren dalam keadaan pegun,” katanya.

Sehubungan itu, semua isu terbabit sedang dianalisis secara mendalam oleh kontraktor isyarat, kontraktor tren serta SULRT3, dengan kerja-kerja penambahbaikan perisian sedang giat dilaksanakan bagi meningkatkan kestabilan, ketepatan dan kebolehpercayaan sistem.

LRT3 Laluan Shah Alam dilanjut ujian kerana berhadapan 33 isu teknikal di peringkat akhir
LRT3 Laluan Shah Alam dilanjut ujian kerana berhadapan 33 isu teknikal di peringkat akhir

“Bagi tren utama atau ‘Golden Train,’ ujian FFR mensyaratkan pemanduan tanpa henti sejauh 4,000 kilometer tanpa sebarang kegagalan, manakala set tren lain dalam kumpulan sama perlu melengkapkan 3,000 kilometer dan tren selebihnya 2,500 kilometer sebelum layak untuk operasi.

“Untuk rekod, sebanyak 11 percubaan FFR sudah dijalankan sebelum ini, namun jarak perbatuan disyaratkan masih belum dapat dicapai sepenuhnya berikutan isu teknikal yang dikenal pasti sepanjang proses ujian. Prasarana menegaskan tiada sebarang kompromi akan dibuat terhadap aspek keselamatan, keandalan dan kestabilan sistem, selaras dengan piawaian ketat yang ditetapkan oleh APAD sebelum kelulusan operasi dikeluarkan,” katanya lagi.

Tambahnya, semua kerja pembaikan dan penambahbaikan kini diberikan keutamaan sepenuhnya bagi memastikan Laluan Shah Alam benar-benar stabil, selamat dan beroperasi pada tahap optimum sebelum dibuka kepada orang ramai.

Rapid Rail selaku operator Laluan Shah Alam turut melaksanakan latihan lapangan (‘on-job training’) dengan menempatkan petugas barisan hadapan di laluan sedia ada bagi pendedahan tambahan khususnya dalam aspek pengurusan orang ramai.

Selain itu, Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan turut dilaksanakan pada 12 November 2025 bagi menguji kecekapan tindak balas dalam situasi krisis serta memperkukuh tahap koordinasi antara kakitangan stesen dan agensi penyelamat.

The post LRT3 Laluan Shah Alam dilanjut ujian kerana berhadapan 33 isu teknikal di peringkat akhir appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts