Laluan utama yang terlibat di tapak pembinaan Laluan LRT Mutiara di Pulau Pinang tidak akan ditutup sepanjang musim perayaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, laporan Bernama.
Beliau berkata pemilik projek dan kontraktor utama – masing-masing MRT Corp dan SRS Consortium – memberi jaminan bahawa gangguan jalan raya akan diminimumkan, termasuk semasa sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) yang akan datang.
“Sebarang kerja pembinaan hanya akan dijalankan pada waktu malam dan bukan pada waktu puncak, manakala bagi musim perayaan utama, aktiviti pembinaan biasanya dihentikan sementara selama satu atau dua hari, bergantung kepada perancangan kontraktor,” kata Zairil baru-baru ini.
Berhubung langkah pengurusan trafik yang diarahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Zairil berkata pelaksanaan pelan tersebut, yang disediakan oleh MRT Corp, sentiasa dipantau dan dikemaskini setiap bulan selaras dengan fasa pembinaan.
Pertama kali dibincangkan pada tahun 2015, Laluan LRT Mutiara sepanjang 29.5 km akan menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar Pulau Pinang menerusi 21 stesen. Jajaran utamanya meliputi laluan dari kawasan Penang South Reclamation ke Penang Sentral serta Stesen Komtar di George Town.
The post LRT Laluan Mutiara – tiada penutupan jalan pada CNY appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















