MRT Corp telah umumkan penutupan jangka panjang berjadual bagi sebahagian laluan di Jalan Sultan Azlan Shah dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada sebelah malam bagi memudahkan pembinaan LRT Laluan Mutiara, lapor Bernama.
Penutupan laluan di Jalan Sultan Azlan Shah akan dilakukan pada 18 Disember 2025 hingga 16 Februari 2026, antara 10 malam dan lima pagi, bagi tujuan kerja-kerja berkaitan. Kerja-kerja pemunggahan jalan juga akan terlibat, menjadikan lorong paling kiri di kedua-dua arah antara persimpangan Jalan Mayang Pasir dan Perkampungan Polis Bayan Indah akan ditutup. Akan ada satu lorong yang akan sentiasa dibuka kepada trafik.
Sementara itu, laluan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pula akan bermula dari Gat Lebuh Macallum hingga Gat Lebuh Cecil, dan akan dilakukan dari 13-31 Disember antara 5 petang hingga enam pagi melibatkan kerja-kerja pelebaran jalan. Akan ada papan tanda, kon trafik dan petugas bendera yang akan mengawal di kedua-dua lokasi. Kepada pengguna jalan raya, diharap berhati-hati di kawasan terbabit.
Pertama kali diusulkan pada 2015, LRT Laluan Mutiara sepanjang 29.5 km akan menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar Pulau Pinang, dan melibatkan 21 stesen. Jajaran utamanya melibatkan laluan dari kawasan tambak selatan pulau tersebut ke Penang Sentral dan stesen Komtar di George Town. Pembinaan dijangka akan diteruskan sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina pada Februari dan Hari Raya Aidilfitri pada Mac untuk menepati tarikh akhir siap pada Disember 2031.
The post LRT Laluan Mutiara: Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ditutup sebahagian laluan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















