Dalam sebuah video yang tular di media sosial, sebuah lori treler kelihatan menghadapi masalah di laluan sempit yang disebabkan oleh beberapa kenderaan yang diparkir secara salah di bahagian selekoh kawasan R&R. Kejadian didakwa berlaku di R&R Ayer Keroh arah Selatan. Ia berakhir dengan lori treler itu melanggar bahagian tepi beberapa buah kereta di situ untuk meneruskan perjalanannya.
Ruangan komen juga kecoh, dengan ramai yang mengkritik pemilik kereta yang meletak kereta mereka sesuka hati di kawasan yang tidak dibernarkan, apatah lagi di kawasan laluan berlengkuk seperti itu. Kenderaan berat dan panjang memerlukan ruang yang lebih besar untuk membolehkannya melepasi lengkuk atau selekoh. Dan, akibat kerosakan seperti itu, tuntutan insuran pula didakwa tidak akan berjaya.
Namun, ada juga yang menyatakan pemandu lori terbabit ada ruang yang cukup di bahagian luar selekoh untuk melepasi laluan itu, sementara yang lain menyalahkan ruang parkir yang tidak mencukupi di kawasan itu, terutamanya ketika musim cuti. Apa pun, ambil ikhtibar daripada kejadian ini dan berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu.
Apa pandangan anda?
The post Lori sagat kereta yang diparkir di selekoh dalam R&R appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















