Selain LS Concept, Lexus turut mempamerkan dua lagi kenderaan mobiliti yang bernaung di bawah siri keluarga LS yang sama, iaitu Lexus LS Coupe Concept dan LS Micro Concept. Berbeza dengan LS Concept, LS Coupe Concept mempertemukan keselesaan mewah dengan keterujaan pemanduan sekali gus.
Daripada semangat ini, idea rekaan yang lebih sporty dizahirkan. Ia tampil dengan rekaan lebih tajam dan melengkung. Bahagian depannya garang dengan jalur lampu LED yang ringkas. Cermin depan juga melengkung kemas, dengan bahagian bumbung belakang yang lebih rendah — keseluruhan bumbungnya kaca.
Pintu kereta ini dari jenis “suicide door” dengan bukaan bertentangan antara pintu depan-belakang. Bahagian sisinya kelihatan lebih berotot di bahagian roda belakang, sementara ada bukaan udara di belakang lengkung tayar hadapan.

Di dalam, kereta ini lebih memberi keutamaan kepada pemandu. Kedudukan dan rekaan papan pemuka serta stereng dan skrinnya hampir sama sahaja dengan model MPV LS Concept, melainkan ia menggunakan kemasan warna hitam-putih untuk kerusi dan kabin bagi membawa semangat sporty yang dihasratkan itu.
Satu lagi rekaan yang ditunjukkan ialah LS Micro Concept. Ia merupakan sebuah kenderaan mobiliti peribadi tiga roda, yang dikendalikan secara autonomous sepenuhnya — yang tetap dibalut dengan idea kemewahan. Ia terdiri daripada satu kerusi yang dikelilingi oleh kemasan lembut dan perehat lengan. Cermin depannya menegak dan turut menempatkan paparan infotainmen.
Lexus LS Coupe Concept
Lexus LS Micro Concept
The post Lexus LS Coupe Concept, LS Micro Concept ditunjuk — tumpu keseimbangan dan mobiliti peribadi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.













































































