Selepas Omoda | Jaecoo, Jetour dan iCaur, satu lagi sub-jenama Chery iaitu Lepas disahkan bakal bertapak di Malaysia tidak lama lagi. Perkara ini diumumkan oleh Chery Corporate Malaysia kepada delgasi media Malaysia ke Chery International User Summit 2025 yang kini sedang berlangsung di Ibu Pejabat Chery di Wuhu, China.
Kehadiran jenama ini sudah dijangka kerana laman media sosial Lepas Malaysia sudahpun diaktifkan Ogos lalu. Menerusi pengumuman rasmi ini, Chery Malaysia turut memberitahu jenama ini bakal dilancarkan secara rasmi di sini pada separa pertama 2026.
Lepas diperkenalkan secara rasmi pada April lalu, diumum sebagai jenama global dengan rekaan tersendiri, berbeza dari barisan model-model sedia ada Omoda | Jaecoo dan Chery Tiggo, namun masih menggunakan platform dan juga unit rangkaian kuasa yang sama.
Lepas bermaksud “Leap” dan “Passion”, dan ia turut merujuk kepada asas rekaan luaran barisan model jenama ini iaitu “Leopard Aesthetic” atau estetika harimau bintang. Jadi untuk kesemua model dengan jenama Lepas akan menerima lampu rekaan siang yang nipis bersama grafik LED yang kelihatan seperti mata harimau bintang yang sedang menumpukan pandangan terhadap sesuatu.
Selain itu, bahagian sisi model-model Lepas ini juga akan tampil dengan tiga garis lengkung utama yang diambil dari otot-otot lengan kaki hadapan dan paha belakang serta bahagian bawah perut seekor harimau bintang. Dan permukaan badan model-model lepas ini nampak licin dan ringkas serta melengkung dengan inspirasi diambil dari barangan tembikar.
Manakala pada bahagian dalaman, setiap model-model Lepas ini akan diberikan papan pemuka ringkas dengan rekaan asas diinpirasikan dari latar langit bumi, dan disertakan dengan konsol tengah yang bersepadu dengan skrin tengah utama dalam posisi potret serta dicondongkan seakan air terjun yang mengalir ke bawah.
Sementara pada pintu dan papan pemuka, Lepas akan memberikan balutan fabrik yang tidak pernah ada pada mana-mana jenama sebelum ini, menampilkan tekstur seakan kulit bayi. Tiga model pertama Lepas ditunjuk ketika itu, di mana semuanya SUV yang terdiri dari model segmen-D Lepas L8, model segmen-C Lepas L6 dan segmen-B Lepas L4.
Dari kesemua model tersebut, Lepas akan melancarkan L8 terlebih dahulu, di mana ia dijual sebagai Chery Tiggo 8 generasi baharu di China, dan telahpun dipamerkan di Indonesia serta disahkan akan menjadi model pertama dilancarkan di sana kelak.
Seperti disebut tadi Lepas L8 diasaskan dari platform sama seperti Chery Tiggo 8 generasi seterusnya. Ia menampilkan dimensi 4,688 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak roda 2,800 mm. Menurut laporan media-media Indonesia, Lepas L8 untuk pasaran negara itu akan ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa “Super Hybrid System”, merujuk kepada sistem Chery Super Hybrid (CSH) yang tampil bukan sahaja dengan sistem hibrid biasa, malah ada juga pilihan sistem plug-in hybrid (PHEV).
GALERI: Lepas L8
GALERI: Lepas L6
GALERI: Lepas L4
The post Lepas – satu lagi sub jenama Chery diumum sah akan bertapak di Malaysia bermula separa pertama 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
























































