Lepas Malaysia (yang disebut “leap-pass”) telah merancang untuk membuka sekurang-kurangnya 20 cawangan jualan dan servis di negeri utama di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, dengan sasaran besarnya adalah untuk mempunyai 30 cawagan menjelang penghujung 2026.

Dalam satu kenyataan rasmi, syarikat itu juga menyatakan akan memperkenalkan Pusat Pengalaman Gaya Hidup di Lembah Klang sebagai sebuah ruang menyeluruh bagi orang awam meneroka zon gaya hidup yang ditampilkan, serta untuk mereka mempelajari tentang teknologi yang ditawarkan oleh Lepas.

“Direka untuk generasi yang berkeyakinan, kreatif dan terhubung, Lepas dibangun untuk individu yang inginkan keseimbangan dalam kerjaya, keluarga serta minat, serta mereka yang inginkan sebuah kenderaan sebagai cerminan kepada diri dan gaya hidup mereka,” jelas Naib Presiden Eksekutif, Chery Corporate Malaysia.

Lepas Malaysia sasar 30 pengedar tahun ini — bakal diperkenal secara rasmi pada separuh pertama 2026

“Dalam persediaan kami untuk pengenalan sulung pada 2026 ini, tumpuan adalah untuk memastikan pengalaman pelanggan berada pada tahap terbaik, selari dengan teknologi yang ditampilkan. Rangkaian yang semakin berkembang menandakan permulaan kepada komitmen jangka panjang terhadap pasaran Malaysia,” tambahnya.

Pengenalan rasmi di sini dijangka dilakukan pada separuh pertama 2026, walaupun belum dinyatakan model mana yang pertama akan dilancarkan. Ketika ini, Lepas mempunyai tiga model dalam barisan penawarannya — L4, L6 dan L8 — yang semuanya dibangunkan menggunakan platform NEV global Chery.

Seperti dilaporkan sebelumnya, model L8 yang merupakan versi rebadge kepada Chery Tiggo 8 generasi kedua, dijangka menjadi model pertama diperkenalkan di sini. Sementara itu, model L6 yang lebih kecil akan berada dalam segmen C SUV, sementara L4 yang paling kecil dalam segmen A.

The post Lepas Malaysia sasar 30 pengedar tahun ini — bakal diperkenal secara rasmi pada separuh pertama 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts