Sub-jenama terbaru bagi Chery di Malaysia, Lepas sepertinya akan dilancarkan di sini dalam masa terdekat selepas jenama itu mula muncul dengan akan media sosial tempatan di Facebook dan juga Instagram.
Chery mengumumkan jenama Lepas ini untuk pasaran global ketika Auto Shanghai 2025 April lalu, dengan Indonesia menjadi negara luar pertama untuk jenama tersebut, yang dilancarkan ketika Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) baru-baru ini.
Walaupun masih belum ada banyak maklumat yang dikongsikan oleh akaun media sosial tempatan itu, boleh dijangkakan L8 akan menjadi model pertama yang diperkenalkan, sama seperti di Indonesia. Bahkan, penghantaran pertama L8 telah dilakukan dari Pelabuhan Wuhu untuk pasaran luar China pada 6 Jun lalu.
SUV segmen D ini dikatakan mempunyai saiz yang hampir sama dengan Chery Tiggo 8, yang hadir dengan ukuran 4,688 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,695 mm tinggi serta jarak roda 2,800 mm, yang turut ditawarkan dengan sistem janaan Chery Super Hybrid (CSH).
Model lain yang berada dalam barisan kenderaan Lepas termasuklah L6 dan L4, yang mana kedua-duanya dipamerkan ketika GIIAS 2025. Semua model ini menerapkan “Leopard Aesthetic”, dengan rekaan yang ketara seperti DRL nipis yang menggambarkan mata yang tajam.
Di bahagian lain juga ada meminjam ilham daripada binatang yang sama dalam rekaannya. Di dalam pula terletak rekaan papan pemuka dengan konsol tengah yang kelihatan berkesinambungan dengan skrin sentuh menegak yang ada, yang disifatkan mengambil ilham daripada air terjun yang mengalir lancar.
Sebutan jenama ini juga adalah “leap-pass”, dan bukannya “lepas”. Itu diperoleh daripada gabungan kata nama “leopard” dengan “passion”. Dengan Lepas yang akan masuk ke pasaran di sini, Chery Malaysia akan memperluaskan lagi portfolionya di sini — selain model dari jenama Omoda | Jaecoo dan iCaur.
GALERI: Lepas L8
GALERI: Lepas L6
GALERI: Lepas L4
The post Lepas Malaysia aktifkan akaun media sosial — sub-jenama Chery akan lancarkan model L8 dahulu? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.