PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan lencongan jalan secara berperingkat di Kulai-Sedenak di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 27 hingga 30 Oktober ini bagi membolehkan kerja-kerja pemasangan rasuk jambatan di laluan berkenaan dijalankan dengan selamat. Ia adalah sebahagian daripada projek pembinaan lorong tambahan dari Yong Peng ke Senai arah utara.
Lencongan jalan ini melibatkan dua lokasi iaitu KM34.20 – KM36.20 arah selatan dan KM32.50 – KM34.50 arah utara, antara jam 10 malam hingga 5 pagi setiap hari sepanjang tempoh yang dinyatakan itu.
“Ketika kerja-kerja tersebut dijalankan, kenderaan akan dilencongkan ke laluan paling kanan bagi mewujudkan zon kerja yang selamat di samping meminimumkan gangguan trafik kepada pengguna lebuh raya.
“Justeru, pengguna lebuhraya disarankan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini. Pengguna juga diingatkan supaya mematuhi semua papan tanda dan arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika melalui kawasan kerja-kerja pembinaan tersebut,” kata PLUS.

Fasa 1 projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya PLUS terdiri daripada dua pakej iaitu Pakej A (Sedenak-Kulai) dan Pakej B (Kulai-Senai Utara) merangkumi jarak 22 kilometer dengan peruntukan RM525 juta yang dijangka siap pada Januari 2028.
Lorong tambahan ini juga akan dilebarkan dari dua lorong kepada tiga lorong yang dijalankan secara berfasa dari Fasa 1 ke Fasa 3 iaitu dari Senai Utara ke Machap. Projek berkenaan adalah inisiatif yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan bagi menangani kesesakan di Lebuhraya PLUS yang sering berlaku pada waktu puncak, semasa cuti umum dan musim perayaan, terutama di laluan selatan yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong sehala.
The post Lencongan jalan di laluan Kulai-Sedenak di Lebuhraya PLUS untuk kerja pasang rasuk jambatan – 27-30 Okt appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















